Selasa, 23 Julai 2013

Martino jurulatih baharu Barca



MARTINO hanya ada masa tiga minggu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran Liga Sepanyol.


MADRID - Barcelona mencapai persetujuan untuk melantik Gerardo Martino sebagai pengurus selama dua tahun semalam.

Martino dari Australia akan menggantikan tempat Tito Vilanova yang meletak jawatan secara mengejut minggu lalu bagi merawat kanser tekak yang dialaminya.

"Barcelona mencapai persetujuan melantik Martino sebagai jurulatih baharu bagi skuad utama untuk tempoh selama dua musim.

"Kami akan mengesahkan ketibaan beliau di Barcelona untuk menandatangani kontrak nanti," menurut seorang jurucakap pasukan dalam laman web rasmi kelab semalam.

Pelantikan Martino sebagai pengurus baharu Barcelona dianggap sebagai satu kejutan besar menjelang pertemuan menentang bekas pengurus, Pep Guardiola pada aksi persahabatan pra-musim pertama menentang Bayern Munich esok.

Jurulatih berusia 50 tahun itu dipilih berdasarkan kejayaan beliau membimbing Newell's Old Boys.
Martino hanya mempunyai masa selama tiga minggu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran sebelum Liga Sepanyol membuka tirainya pada 17 Ogos depan.

Martino tidak mempunyai pengalaman menguruskan kelab di Eropah walaupun beliau pernah beraksi dengan kelab Sepanyol, Tenerife sebagai pemain pada 1991. 

Untuk rekod, Martino memenangi empat gelaran di Paraguay dengan Libertad dan Cerro Porteno antara 2002 dan 2006 sebelum mengemudi skuad kebangsaan negara itu.

Di bawah bimbingan Martino, Paraguay tampil cemerlang pada Piala Dunia 2010 sebelum tewas kepada Sepanyol 0-1 pada aksi separuh akhir di Johannesburg, Afrika Selatan.

Paraguay turut melangkah ke final Copa America pada 2011 sebelum beliau beralih arah untuk membimbing Newell's iaitu pasukan lamanya selaku pemain.

Martino juga merupakan idola kepada penyerang Barcelona, Lionel Messi yang memulakan kariernya sebagai pemain bola di Newell's.

"Saya suka Martino. Beliau seorang jurulatih yang hebat.
"Dia membuktikannya ketika di Newell's. Skuad dikendalikan bermain dengan baik dan kami menghormatinya," kata Messi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan