Selasa, 23 Julai 2013

Barca uji kredibiliti Guardiola



GUARDIOLA bakal berdepan bekas kelabnya apabila Bayern Munich melayan kunjungan Barcelona pada satu aksi persahabatan di Allianz Arena esok.


BERLIN - Pep Guardiola bakal berdepan bekas kelabnya apabila Bayern Munich melayan kunjungan Barcelona pada satu aksi persahabatan di Allianz Arena esok.

Begitupun, Barcelona dijangka tiba di Munich tanpa kehadiran jurulatih selepas Tito Vilanova meletak jawatan atas faktor kesihatan minggu lalu.

Barcelona mencapai persetujuan untuk melantik Gerardo Martino sebagai pengurus selama dua tahun semalam.

Guardiola yang menerajui skuad The Bavarians bulan lalu juga pastinya tidak dapat melupakan kenangan manis semasa mengendalikan Barcelona memenangi 14 gelaran dari 2008 hingga 2012.

Beliau turut berjaya membeli pemain muda Barcelona, Thiago Alcantara bagi memantapkan jentera tengah Bayern yang dibarisi pemain berkaliber seperti Arjen Robben dan Franck Ribery.

Namun, Guardiola dilihat masih belum dapat melupakan sengketa lama dengan pihak pengurusan skuad The Catalan yang didakwa menuduh beliau tidak pernah melawat Vilanova ketika menjalani pembedahan tekak di New York, Amerika Syarikat pada Disember lalu.

"Mereka sengaja menjadikan isu tersebut untuk memburukkan imej saya.
"Tuduhan saya tidak bertemu dengan Vilanova semasa di New York sememangnya mengarut," tegas Guardiola.

Dalam pada itu, kedua-dua pasukan dijangka tidak menurunkan barisan terkuat masing-masing.
Bayern dijangka tempang tanpa kehadiran Bastian Schweinsteiger dan Mario Goetze yang belum pulih daripada kecederaan.

Skrip yang sama juga menimpa Barcelona apabila masih belum dapat menagih khidmat kapten, Carles Puyol yang bergelut untuk mengembalikan semula tahap kecergasannya selepas menjalani pembedahan lutut, Mac lalu.

Pada masa sama, Barcelona juga pasti mahu menjadikan perlawanan itu sebagai medan membalas dendam apabila dimalukan Bayern dengan agregat 0-7 pada aksi separuh akhir kempen Liga Juara-Juara musim lalu. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan