Jumaat, 19 Julai 2013

Moyes tunggu dua berita baik

MOYES berdebar menanti hasil usahanya memburu Fabregas daripada Barcelona di samping usaha mengekalkan Rooney di United.


SYDNEY - Pengurus Manchester United, David Moyes berharap mereka akan menerima berita gembira dalam tempoh beberapa hari ini selepas membuat bidaan terhadap pemain tengah Barcelona, Cesc Fabregas.

Bekas pengurus Everton itu yang musim pertama mengendali United dilihat masih mencari-cari beberapa orang pemain baharu untuk melengkapkan skuad The Red Devils musim ini.
Ketika ini, skuad juara Liga Perdana England itu berada di Sydney bagi jelajah pra-musim untuk persediaan menghadapi musim baharu dan mereka akan bertemu pasukan A-League All Stars hari ini.

Menurut laporan media di Britain, United telah membida Fabregas pada harga £26 juta (RM126.6 juta) dan sehingga kini, pihak United masih menunggu maklum balas daripada pihak Barca.

"Ketua eksekutif Barcelona ada menghubungi saya dan dia meminta saya bersabar kerana mereka sedang mempertimbangkan hasrat saya itu.

"Saya rasa ketika dalam perjalanan balik kami ke England nanti akan ada perkembangan terbaharu mengenai perkara ini," kata Moyes.

Mengenai isu Rooney, Moyes yang enggan bercakap mengenainya sebelum ini menegaskan bahawa mereka tetap dengan keputusan seperti dahulu dan tiada perkara baharu akan berlaku.

"Rooney bukan untuk dijual," katanya yang masih menunggu berita baik daripada pemain itu.
Pengurus Chelsea, Jose Mourinho minggu lepas telah membuat tawaran sekitar £10 juta (RM48.7 juta) kepada United bagi mendapatkan Rooney tetapi ditolak oleh United. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan