Isnin, 29 Julai 2013

Moyes henti bida Fabregas


Cesc Fabregas 
 
LONDON - Selepas dua bidaan untuk mendapatkan Cesc Fabregas ditolak, Manchester United bersedia untuk menghentikan pemburuan mendapatkan pemain tengah Barcelona itu.

Pengurus United, David Moyes mula menunjukkan tanda berputus-asa untuk mendapatkan pemain kebangsaan Sepanyol itu apatah lagi jurulatih baharu Barcelona, Gerardo Martino memberitahu Fabregas tidak akan dijual.

"Saya tidak boleh memberitahu bahawa akan ada lagi bidaan selepas ini. Saya juga tidak pernah kata akan mendapatkan pemain itu, sebaliknya saya cuma kata kami akan membuat tawaran tetapi mereka menolaknya," kata Moyes.

United sudah membuat dua kali tawaran untuk mendapatkan Fabregas menerusi bidaan 26 juta pound (RM128 juta) dan 31 juta pound (RM153 juta) tetapi ditolak.

Moyes dalam usaha memperkukuhkan bahagian tengah skuadnya dan turut menolak tawaran Borussia Dortmund untuk mendapatkan Shinji Kagawa.

Sementara itu, Moyes memberitahu tidak akan terburu-buru untuk mendapatkan pemain baharu dalam tempoh terdekat.

"Kami tetap berharap mampu mendapatkan pemain baharu tetapi mungkin dalam masa terdekat ini.
"Bagi saya skuad ketika ini terdiri daripada pemain yang bagus," kata Moyes. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan