Jumaat, 19 Julai 2013

Tunjuk kemampuan sebenar

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berharap barisan pemainnya membuktikan tahap kemampuan sebenar mereka ketika berdepan Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam esok.

Meskipun Rajagobal menyedari The Blues tampil dengan reputasi yang cukup tinggi, pengendali berusia 57 tahun itu tetap tidak mahu menjadikan ia sebagai satu alasan untuk anak-anak buahnya beraksi di bawah tahap sebenar.

Justeru, Rajagobal mahu barisan Harimau Malaya menampilkan satu corak permainan terbaik ketika melayan kunjungan juara Liga Europa itu nanti.

"Bukan saya tidak mementingkan kemenangan tetapi kita seharusnya bersikap realistik.
"Kita harus terima hakikat bahawa jurang Chelsea dan Harimau Malaya berada pada tahap yang berbeza.

"Namun, saya ingin tegaskan bahawa kami akan mempamerkan satu persembahan positif ketika menentang Chelsea," katanya kepada pemberita pada sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Tambah Rajagobal, beliau berharap aksi tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan pemainnya sebelum menentang gergasi Sepanyol, Barcelona bulan depan dan kempen kelayakan Piala Asia 2015.

"Semua tahu selepas aksi menentang Chelsea, kami akan menjalani sesi latihan di Jepun selama dua minggu bermula 23 Julai depan.

"Selepas itu, kami akan menentang Barcelona pada 10 Ogos depan. Saya percaya aksi menentang Chelsea dan Barcelona memberisatu pengalaman berguna kepada barisan pemain untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015.

"Saya berharap mereka akan mempelajari sesuatu untuk meningkatkan tahap keupayaan masing-masing," jelasnya.

Sementara itu, tonggak pertahanan Chelsea, Gary Cahill yakin The Blues akan mempamerkan karakter sebenar mereka ketika berdepan Harimau Malaya.

"Saya fikir perlawanan dengan Malaysia nanti tidak jauh bezanya ketika kami menentang Thailand (Singha All Star) yang mempamerkan permainan agak tersusun.

"Mereka (Harimau Malaya) dijangka mempamerkan corak bertahan dan ia mungkin menyebabkan permainan kami sedikit terjejas," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan