Isnin, 29 Julai 2013

Real buat bidaan terakhir

BALE enggan menulis surat permohonan untuk berpindah atau melancarkan mogok bagi memaksa Spurs melepaskannya.


LONDON - Real Madrid dilaporkan bersedia untuk membuat bidaan terakhir sebanyak £95 juta (RM456 juta) bagi mendapatkan khidmat Gareth Bale daripada Tottenham Hotspurs.

Sebuah akhbar di London melaporkan, selain wang tunai berjumlah £51 juta (RM244.8 juta), kelab gergasi Sepanyol itu difahamkan turut menawarkan dua pemainnya, Angel Di Maria yang bernilai £25 juta (RM120 juta) dan Fabio Coentrao yang bernilai £19 juta (RM91.2 juta) sebagai pertukaran.

Jika menjadi kenyataan, ia merupakan rekod terbaharu dan tertinggi membabitkan pembelian pemain dalam tempoh satu abad yang lalu.

Real meningkatkan tawaran ke atas Bale selepas menyaksikan tawaran sebelum ini bernilai £81 juta (RM388.8 juta) ditolak Spurs mentah-mentah.

Kesediaan meningkatkan tawaran itu menunjukkan kesungguhan presiden Real, Florentino Perez untuk menjadikan Bale bintang terhebat kelab Liga Sepanyol itu.

Tawaran itu turut memberi tekanan kepada pengerusi Tottenham, Daniel Levy untuk memikirkan semula bidaan lumayan yang diterima mereka.

Bale sebelum ini pernah memberitahu Levy tentang minatnya untuk menyertai Real Madrid.

Namun, pemain sayap berusia 24 tahun itu enggan menulis surat permohonan untuk berpindah atau melancarkan mogok bagi memaksa Spurs melepaskannya.

Sementara itu, pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas berkata, beliau memang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap dari Argentina, Di Maria, 25, dan Coentrao, 25, yang boleh bermain di posisi bek kiri atau tengah. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan