Rabu, 24 Julai 2013

Bale setuju sertai Real?

 

LONDON - Real Madrid mengorak langkah memburu Gareth Bale dengan bersetuju untuk mengemukakan kombinasi tawaran bernilai 130 juta pound (RM635 juta).

Laporan akhbar di Sepanyol mengatakan, Real dan Bale secara dasarnya sudahpun mencapai persetujuan mengenai tawaran gaji 51 juta pound (RM249.07 juta) untuk kontrak enam tahun.
Real juga akan tampil dengan yuran perpindahan besar 80 juta pound (RM390.70 juta) untuk Bale.
Pengurus Spurs, Andre Villas-Boas bagaimanapun menegaskan dia akan berjuang untuk mengekalkan pemain tersebut walaupun yuran 80 juta pound yang ditawarkan oleh Real akan menyamai rekod dunia ketika Real membeli Cristiano Ronaldo daripada Manchester United pada 2009.

Bale, 24, tidak cergas untuk diturunkan dalam perlawanan persahabatan menentang Sunderland pada kejohanan Trofi Liga Perdana Asia di Hong Kong semalam.

"Bale pemain Tottenham, salah seorang daripada pemain hebat dan kami bergantung kepadanya untuk masa depan kelab," ujar Villas-Boas.

Akhbar sukan yang berpengkalan di Madrid, Marca semalam mendakwa, Bale sudahpun memberitahu ahli lembaga Tottenham mengenai hasratnya untuk menyertai Real.
Laporan itu menegaskan, Bale tidak mengemukakan secara permohonan rasmi kepada kelab tetapi memberitahu Pengerusi Spurs, Daniel Levy bahawa dia gembira jika dibenarkan untuk menyertai Real pada musim panas ini.

Akhbar itu turut mendakwa, wakil Bale sudah bersetuju dengan perjanjian 8.5 juta pound (RM41.51 juta) setahun bersama Real yang akan berjalan sehingga 2019, tawaran yang mampu meyakinkan Spurs untuk melepaskan bintang mereka itu. Presiden Real, Florentino Perez juga dilaporkan telah mengadakan rundingan dengan Levy. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan