Rabu, 31 Julai 2013

'Raja Eksperimen' gagal



SKUAD Harimau Malaya terus dikecam ekoran prestasi hambar dalam aksi persahabatan di Jepun.


EKSPERIMEN ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal ternyata tidak menjadi sepanjang hampir dua minggu anak-anak buahnya ‘berguru’ di Jepun.

Tanpa sebarang kemenangan dalam tiga aksi persahabatan di negara Matahari Terbit itu membuktikan betapa skuad kendalian Rajagobal tiada lagi taring sebenar.

Selepas tewas 0-2 kepada Shimizu S Pulse, anak-anak buah Rajagobal terus longlai apabila dibelasah 0-5, masing-masing kepada Shonan Bellmare dan Tokyo Verdy.

Situasi itu sudah pasti memberi tekanan kepada Rajagobal bagi merencana strategi terbaik menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2015 yang akan kembali berlangsung Oktober depan.

Sebelum berlepas ke Jepun, prestasi Harimau Malaya sudah menjadi perdebatan dalam kalangan pemerhati dan peminat bola sepak tanah air.

Tatkala kedudukan mereka dalam ranking dunia sekali lagi menjadi persoalan, keputusan hambar yang dicatat Harimau Malaya dalam 10 perlawanan (kelayakan Piala Asia 2012, aksi persahabatan dan perlawanan ujian) terus diperkatakan.

Bagi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Shukor Salleh, beliau menggesa Rajagobal mencari satu jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi kepincangan prestasi Harimau Malaya.

“Kita kena jaga imej negara. Kalau main dengan pasukan kuat dalam perlawanan kelas A, jangan sesekali cari masalah dengan menguji pemain.

“Bila kita kalah dan imej kita akan sedikit tercalar, lebih-lebih lagi apabila kita tewas besar kepada pasukan berstatus kelab.

“Saya tahu Rajagobal seorang jurulatih yang hebat tetapi pada masa sama, kejayaan lalu tidak boleh lagi dijadikan sebagai penanda aras.

“Nasihat saya, beliau tidak boleh lagi bereskperimen pada perlawanan-perlawanan penting sebelum mengharungi kelayakan Piala Asia nanti,” kata Shukor ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Dali Omar turut bersetuju pandangan Shukor.

Dali berkata, Harimau Malaya akan kekal statik sekiranya Rajagobal masih mengambil pendekatan yang sama untuk menghadapi perlawanan akan datang.

“Kita bukan tiada pemain yang boleh diketengahkan tetapi jika pendekatan eksperimen berterusan, bagaimana kita hendak melihat kemampuan setiap pemain dalam tempoh jangka panjang.

“Saya berpendapat, kita sudah terlambat untuk memperbaiki kelemahan yang ada kerana kita tidak mempunyai banyak masa sebelum saingan kelayakan Piala Asia kembali bersambung.

“Saya tidak faham bagaimana ada pihak yang mengatakan ranking itu tidak penting dan pendirian itu harus kita perbaiki terlebih dahulu,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan