Sabtu, 20 Julai 2013

Rooney boleh gugat Torres

TORRES (kiri) masih bercuti tetapi mungkin sekembalinya ke Chelsea nanti, dia sudah ada pesaing baharu iaitu Rooney.


LONDON - Fernando Torres bakal berdepan cabaran untuk terus kekal di Chelsea seandainyanya The Blues berjaya mendapatkan penyerang Manchester United, Wayne Rooney.

Torres sedar peluangnya semakin tipis jika Rooney tiba di Stamford Bridge, namun dia bertekad untuk berjuang bermati-matian merebut posisi sebagai penyerang utama.

Penyerang Sepanyol itu telah memberitahu rakannya bahawa dia tidak akan meninggalkan London setelah keluarganya kini selesa berada di bandaraya England itu.

Meskipun dia pernah menyatakan niatnya untuk kembali semula Liverpool, namun dia mengubah semula fikirannya itu selepas berjaya mengharungi cabaran di kelab London itu selama dua tahun setengah.

Torres, 29, masih mempunyai baki tiga tahun lagi dalam kontraknya selepas tiba dari Liverpool pada Januari 2011.

Walaupun penghijrahannya ke Stamfrod Bridge masih dilihat belum membuahkan kejayaan cemerlang, penyerang Sepanyol itu masih gembira tinggal di London meskipun berdepan kesukaran.
Pengurus The Blues, Jose Mourinho telah menegaskan bahawa Rooney adalah buruan utamanya dan akan mengetuai jentera serangan mereka musim ini sekiranya dia dilepaskan oleh United.
Meskipun menunjukkan peningkatan dengan menyumbang 22 gol dalam 64 penampilan musim lepas, Mourinho masih tetap mahu menggunakan khidmat Rooney. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan