Sabtu, 20 Julai 2013

PBNJ mengambil langkah berani

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bakal mendapatkan khidmat seorang pengurus baharu yang berasal dari Sepanyol bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang enggan mendedahkan secara khusus siapa individu tersebut bertitah, pengurus baharu Harimau Selatan merupakan seorang yang berpengalaman dan pernah menerajui pasukan seperti Valencia dan Atletico Madrid.

“Saya sebagai Presiden PBNJ ingin mengumumkan kepada para penyokong Johor bahawa langkah-langkah positif sudah diambil untuk memperkukuhkan lagi pasukan untuk musim depan,” titah baginda menerusi satu kenyataan dalam laman sosial Facebook Kesultanan Johor dan Johor Darul Takzim semalam.

Sementara Fandi Ahmad yang bertindak sebagai jurulatih Johor Darul Takzim (Johor DT) akan terus bersama pasukan tersebut sebagai Penolong Jurulatih.

Sejajar dengan prinsip PBNJ yang sentiasa membawa nama-nama besar dalam industri bola sepak, Tunku Ismail bertitah, pihaknya semakin hampir mencapai persetujuan untuk menandatangani kontrak bersama bekas bintang bola sepak Argentina, Pablo Aimar, 33.

Dalam masa yang sama, baginda bertitah, PBNJ juga telah mendapat persetujuan daripada lima pemain baharu untuk menyarung jersi Johor DT bagi musim akan datang.

“Kami juga sedang dalam proses rundingan dengan beberapa pemain untuk beraksi dengan pasukan Johor DT,” titah baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, Tunku Ismail menegaskan bahawa sumber kewangan persatuan bukan datangnya daripada wang rakyat.

“Ingin saya tegaskan bahawa sumber kewangan PBNJ adalah daripada Sultan Johor, saya sendiri dan juga rangkaian penaja yang melabur dalam negeri Johor dan tidak melibatkan wang rakyat. 

“Oleh itu, kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang melemparkan tuduhan yang tidak berasas adalah lebih baik berdiam diri daripada menjatuhkan maruah diri sendiri,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan