Sabtu, 20 Julai 2013

Barcelona cari jurulatih baharu



VILANOVA (tengah) mengendalikan sesi latihan Barcelona di Sports Center Joan Gamper, Barcelona pada 18 Julai lalu.


BARCELONA - Juara Liga Sepanyol, Barcelona mencari seorang jurulatih baharu selepas Tito Vilanova meletak jawatan semalam.

Presiden Barcelona, Sandro Rosell berkata, Vilanova tidak dapat meneruskan tugasnya kerana beliau terpaksa menjalani pembedahan ekoran kanser tekak.

Pengendali berusia 44 tahun itu pernah membuang tumor dari tekaknya pada November 2011 sebelum sekali lagi mengadu sakit dengan masalah yang sama penghujung tahun lalu.

Vilanova telah menjalani pembedahan diikuti rawatan susulan ujian kimia dan radioterapi di New York, Amerika Syarikat selama 10 minggu.

Beliau kembali mengemudi Barcelona pada Mac lalu dan mengetuai kelab itu menjulang gelaran Liga Sepanyol.

"Selepas menilai keputusan hasil ujian rutin perubatan Vilanova, perkara paling baik buat kedua-dua pihak adalah membenarkan beliau melepaskan jawatan sebagai jurulatih kelab ini. Dia perlukan masa untuk berehat bagi memulihkan penyakit yang dialaminya.

"Saya mahu semua pihak terutama media, di atas nama keluarga Vilanova, sila berikan penghormatan paling tinggi kepadanya bermula daripada sekarang.

"Pengganti Vilanova bakal diumumkan minggu depan," kata Rosell pada satu sidang akhbar.
Selain itu, Rosell turut mengesahkan skuad The Catalan tidak akan ke Poland untuk berdepan Lechia Gdansk pada aksi pra-musim.

"Kami sudah tidak berminat untuk melakukannya.

"Apa yang boleh saya katakan adalah kehidupan perlu diteruskan. Saya akui kehilangan Vilanova merupakan satu tamparan buat kami.

"Biarpun Barcelona menjadi keutamaan, apabila melibatkan nyawa seseorang, kami harus memikirkan keselamatan beliau terlebih dahulu diikuti kesejahteraan kelab ini," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan