Rabu, 31 Julai 2013

Tottenham mahu Modric



MODRIC (kiri) menjadi pemain pertukaran sekiranya Real berhasrat untuk mendapatkan Bale daripada Tottenham.


LONDON - Tottenham Hotspur dilaporkan bersedia menjual Gareth Bale kepada Real Madrid dengan rekod perpindahan termahal di dunia.

Bagaimanapun, kelab Liga Perdana England itu mahukan Luka Modric sebagai pertukaran.
Pengerusi Spurs, Daniel Levy yang berkeras untuk tidak melepaskan Bale sebelum ini mula berlembut, tetapi beliau akan berusaha sedaya upaya mahu 'menyusahkan' kelab Liga Sepanyol itu.
Levy dilaporkan mahu mendapatkan semula Modric sebagai pertukaran tambahan terhadap pembelian Bale.


Spurs bersetuju melepaskan Bale tetapi mereka berhasrat untuk membawa semula Modric ke White Hart Lane dengan harga melebihi £80 juta (RM395.7 juta) yang Real bayar kepada United ketika mendapatkan Cristiano Ronaldo pada 2009.

Pendirian Levy berubah selepas beliau sedar tentang kesanggupan Real untuk membayar jumlah yang besar semata-semata mahu membawa pemain sayap Wales itu ke Stadium Santiago Bernabeu.

Sebelum ini, pemain pertahanan kiri, Fabio Coentrao dan pemain sayap Angel Di Maria dipertaruhkan sebagai pertukaran dalam syarat tambahan ke atas pembelian Bale.

Namun, Di Maria difahamkan enggan menyertai kelab London itu dan kini Modric dilihat sebagai pilihan kedua.

Perancang berusia 27 tahun itu menyertai Real dengan harga £33 juta (RM163.2 juta) musim lepas.
Spurs yakin Modric berminat untuk menyertai semula skuad itu dengan prospek kehadiran penyerang baharu dari Valencia, Roberto Soldado dan beberapa pemain lagi dalam perancangan.

Modric pula dilihat bergelut berada dalam kesebelasan utama Real, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa dia mungkin akan kembali ke Liga Perdana England. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan