Selasa, 9 Julai 2013

Lotus yakin 'ikat' Raikkonen


LONDON - Ketua pasukan Lotus, Eric Boullier mengakui, beliau mahu mengekalkan Kimi Raikkonen bersama pasukan itu musim hadapan.

Raikkonen dilaporkan menjadi pemandu pilihan Red Bull Racing untuk mengisi tempat Mark Webber dari Australia yang mengambil keputusan meninggalkan pasukan tersebut pada penghujung tahun ini. 

"Selama dua tahun berturut-turut, kami cukup hampir dengan Red Bull. Dia (Raikkonen) mahu mengetahui adakah situasi ini akan berterusan seperti ini.

"Kami dalam perbincangan mengenai pakej teknikal yang akan kami perolehi. 

"Bagi Raikkonen, dia sangat matang dalam membuat keputusan untuk diri sendiri terutamanya apa yang terbaik bagi dirinya meskipun ada banyak kejadian sepanjang dia bersama pasukan ini," kata Boullier. 

Selepas mengharungi sembilan perlumbaan musim ini, pemandu kelahiran Finland itu berada di kedudukan ketiga selepas mengutip 116 mata dalam kategori pemandu iaitu 41 mata di belakang pemandu Red Bull, Sebastian Vattel (157 mata) dan hanya sembilan mata di belakang Fernando Alonso. 

Boullier turut mengakui bahawa mereka agak lambat untuk menjelaskan pembayaran gaji bekas juara dunia itu tetapi mengesahkan ia telah diselesaikan. 

"Memang dibayar lambat tetapi pembayaran sudah dibuat," jelas Boullier.
Raikkonen sudah memenangi 20 perlumbaan sepanjang karier dan dianggap sebagai pencabar utama kepada Vettel.

Bagaimanapun, kemampuannya untuk bekerjasama dengan pereka teknikal masih menjadi persoalan utama.

Ketika Lotus yakin Raikkonen akan kekal bersama pasukan itu, masa depan rakan sepasukan, Romain Grosjean mencetuskan tanda tanya.
- Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan