Selasa, 9 Julai 2013

Mourinho tabur janji manis



LONDON - Pengurus baharu Chelsea, Jose Mourinho berjanji akan memenuhi hajat pemilik kelab itu, Roman Abramovich untuk mencatat kejayaan lebih bergaya musim depan.Pengendali yang lebih dikenali dengan gelaran The Special One itu mengakui, beliau tidak pernah memikirkan soal 'gaya' dalam memburu kejayaan untuk kelab yang dibimbingnya.
"Saya mahu membuat penyokong Chelsea berpuas hati dari aspek keputusan, gaya permainan, mentaliti dan personaliti pemain.

"Penyokong perlu tahu apa yang boleh kami berikan kepada mereka. Saya belajar semua ini daripada pengalaman lalu ketika bersama Chelsea, Inter (Milan) dan (Real) Madrid.

"Keputusan yang saya buat semuanya demi pasukan yang saya bimbing. Saya perjudikan nasib saya dengan kerap membuat keputusan yang berisiko tinggi," katanya.

Ketika ini, Chelsea sedang sibuk melakukan persiapan bagi menghadapi aksi pra-musim walaupun beberapa pemain tetapnya masih bercuti rehat selepas terlibat pada aksi Piala Konfederasi 2013 di Brazil baru-baru ini.

Bagaimanapun, bintang-bintang yang baharu dibeli Chelsea sudah pun mula menjalani latihan pertama mereka seperti Andre Schurrle dan Marco van Ginkel.

Skuad berwajah baharu Chelsea akan memulakan jelajah pra-musimnya ke Asia minggu ini.
Mengenai pemain lama yang sudah berusia, Mourinho berkata: "Frank Lampard, Ashley Cole dan John Terry masih mempunyai peranan besar di Chelsea.

"Mereka ini adalah sebahagian daripada legasi budaya kelab ini. Walaupun pemain baharu yang datang, pemain lama jugalah yang akan memainkan peranan membantu orang baharu menyesuaikan diri dengan cepat.

"Satu hari karier mereka akan berakhir dan yang baharu tiba akan mengambil alih tugas mereka. Keadaan ini akan berterusan dari satu generasi ke generasi berikutnya." - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan