Ambil iktibar
Maria Farida simpati nasib bekas kekasih, nasihat Shahz Jaszle lebih waspada

Hanya ungkapan simpati yang terbit dari bibir pelakon cantik, Maria Farida, tatkala ditanya berhubung isu hangat membabitkan pelakon, Shahz Jaszle (gambar kecil).
Ketika ditemui pada pelancaran kempen Cherita Di Pagi Raya, anjuran Habib Jewels, ibu tunggal yang pernah menjalin hubungan istimewa bersama aktor muda itu berkata, Shahz seharusnya lebih berhati-hati dalam setiap gerak geri.

Saya bersimpati dengan nasibnya. Kalau boleh saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan dirinya kerana hubungan kami sudah lama berakhir." Maria Farida, Pelakon

Enggan dikaitkan lagi dengan bekas buah hatinya selepas hubungan mereka terputus sekitar 2011, apa yang berlaku kepada pemuda itu disifatkan Maria tidak ubah seperti putaran roda.

"Saya bersimpati dengan nasibnya, tetapi dia sendiri yang menjerat dirinya. Cuba buat perangai elok-elok, tentu perkara sebegini tidak berlaku.

"Kalau boleh saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan dirinya kerana hubungan kami sudah lama berakhir. Cuma apa yang boleh saya katakan, inilah hukum karma. Mungkin juga inilah balasan terhadap sikapnya yang sering memainkan perasaan wanita," katanya.

Sara hidup tinggi
Pengalaman menjalin hubungan dengan jejaka jauh lebih muda membuatkan ibu kepada Mizan Ashley, 16, ini serik untuk bercinta dengan pucuk muda.

Dia yang masih solo selepas lebih 10 tahun hidup bersendirian mengakui tidak terburu-buru mencari pengganti. Bukan tiada golongan bergelar Datuk mahupun Tan Sri yang cuba mendekati, namun Maria dia tidak sanggup memperjudikan cinta semata-mata kerana harta.

"Jika saya hendak berkahwin sekali pun, hubungan itu perlulah terbit atas dasar cinta. Saya tidak mahu berkahwin kerana harta. Jika saya tamakkan harta tentu sudah lama saya kembali berumah tangga. Tidak perlulah saya hidup solo sebegini lama.

“Pada usia sekarang saya harus akui tahap toleransi saya semakin rendah. Saya pula seorang yang cerewet. Jadi saya perlu mencari pasangan yang benar-benar boleh memahami diri saya dan paling penting, antara kami perlu ada keserasian. Tetapi itu bukanlah bermaksud saya mencari pasangan yang sempurna.

“Hubungan itu harus lahir atas dasar cinta dan ikhlas, bukan kerana mengejar glamor semata-mata. Bakal suami juga perlulah menerima kehadiran anak saya sekiranya ingin menjadikan saya sebagai suri hidupnya,” kata Maria.

Pelakon yang cukup popular menerusi filem Bisikan Cinta, lakonannya bersama Azhar Sulaiman, juga tidak malu mengakui sara hidup diri dan anaknya agak tinggi. Justeru, lelaki yang ingin mendampinginya haruslah mampu menerima gaya hidup mereka.

Semua tanggung sendiri

Bagaimanapun, dia berkata demikian bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya selama memegang status janda, segala-galanya ditanggung sendiri hasil titik peluhnya berlakon.

“Kos sara hidup saya tinggi, begitu juga dengan anak. Saya menghantar Mizan ke sekolah antarabangsa dengan yurannya mencecah puluhan ribu, setahun. Setiap minggu kami akan menjamu selera di restoran mewah, semua itu saya tanggung sendiri dengan wang hasil lakonan.

“Saya tidak mungkin merendahkan taraf hidup selepas berkahwin. Oleh itu, lelaki yang mahu berkahwin dengan saya kenalah terima gaya hidup kami anak beranak, serta berkemampuan menanggung kami,” kata Maria.

Menyentuh kerjaya seni pula, pelakon yang memulakan langkah dalam bidang seni seawal usia 16 tahun berkata, sehingga kini dia masih tidak menang tangan menerima tawaran berlakon.

Baru saja selesai penggambaran cerita fantasi, Pujangga Budiman, untuk TVi, Maria kini mempersiapkan diri untuk menjalani penggambaran filem Showdown. Memandangkan jadual lakonan yang padat sejak tahun lalu, dia membuat keputusan berehat sepanjang Ramadan nanti bagi memberikan tumpuan kepada keluarga.