Selasa, 9 Julai 2013

Australia ahli baharu AFF

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

KUALA LUMPUR - Australia hampir pasti bakal menjadi ahli ke-12 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), namun skuad Socceroos itu tidak akan menyertai Piala Suzuki AFF, sebaliknya hanya tertumpu kepada kejohanan bawah umur atau wanita.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung AFF, Datuk Azzuddin Ahmad yang berkata, hasrat itu telah diminta sendiri oleh Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) dan tujuan mereka menyertai AFF adalah untuk tujuan meningkatkan pembangunan bola sepak di rantau ini secara bersama.

Tambahnya, semua pihak termasuk Malaysia tidak perlu memandang negatif penyertaan Australia sebagai ahli gabungan AFF yang terbaharu sebaliknya melihat apa yang boleh ditawarkan negara itu kepada kemajuan bola sepak Asia Tenggara.

Dalam masa sama, beliau menafikan khabar angin menyatakan China berminat menyertai Piala Suzuki AFF sebagai pasukan jemputan.

‘‘Surat mengenai kemasukan mereka telah saya terima di pejabat AFF dan mereka kini hanya tunggu secara rasmi untuk diterima sebagai ahli baharu AFF ke-12.

‘‘Bagaimanapun, mereka ada menyatakan permohonan untuk tidak sertai Piala AFF tetapi berhasrat untuk bertanding dalam mana-mana kejohanan peringkat bawah umur serta kategori wanita.

‘‘Mengenai China, ini pertama kali saya dengar mereka hendak sertai Piala AFF, saya sendiri rasa terkejut dan buat masa ini kami tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada mereka," katanya yang ditemui di Wisma FAM selepas majlis perpisahannya selaku Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Apa yang pasti, keengganan Australia untuk menyertai Piala Suzuki AFF boleh difahami kerana mutu bola sepak Asia Tenggara masih rendah.

Tiada mana-mana pasukan dari rantau ini mampu berada sekurang-kurangnya dalam kelompok 10 teratas Asia sedangkan Australia kini berada di ranking ke-40 dunia, kedua terbaik di Asia.

Jelas sekali penyertaan dalam Piala Suzuki AFF tidak akan memberi faedah kepada Socceroos kerana mutu bola sepak mereka telah jauh meninggalkan negara-negara ASEAN dan ia memberi tamparan yang hebat kepada AFF.

Buat masa ini, pasukan senior Australia memilih untuk menyertai kejohanan Piala Asia Timur yang disertai dua gergasi Asia, Jepun dan Korea Selatan, selain Korea Utara serta China.

Begitupun seperti kata Azzuddin, kemasukan Australia boleh membawa banyak perkara positif, terutama daripada segi meningkatkan kualiti pembangunan akar umbi dengan kepakaran yang ditawarkan negara itu. 

“Jangan anggap kedatangan Australia sebagai satu ancaman kepada bola sepak Asia Tenggara kerana mereka boleh menjalinkan kerjasama dalam bentuk penganjuran bengkel dan seminar kepada jurulatih.

“Malah, kita boleh mempelajari sesuatu daripada mereka dalam aspek pembangunan sains sukan dan menerapkannya dalam sukan bola sepak," katanya lagi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan