Khamis, 4 Julai 2013

FAM nafi double standard

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

Hamidin (kanan) menjelaskan tiada lagi majlis penyerahan trofi di Wisma FAM sambil menolak tuduhan adanya layanan istimewa diberikan kepada Lions XII di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu. 
 
KUALA LUMPUR - Kejayaan Lions XII menjulang kejuaraan Liga Super bukan sahaja akan diingati oleh peminat bola sepak tanah air sebagai pasukan jemputan pertama meraih trofi berkenaan sejak diperkenalkan pada tahun 2004, malah layanan kelas pertama diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Jika dibandingkan dengan apa yang dinikmati oleh juara tahun lalu, Kelantan, jelas seolah-olah terdapat perbezaan antara dua darjat dengan Lions XII berpeluang menjulang trofi berkenaan dan menerima cek di hadapan penyokong sendiri di Stadium Jalan Besar sebaik sahaja mengesahkan kejuaraan menewaskan Felda United 4-0.

Sedangkan Kelantan yang mengesahkan kejuaraan Liga Super dua perlawanan lebih awal musim lalu tidak diberikan kesempatan yang sama oleh FAM apabila disuruh hadir ke Wisma FAM bagi upacara penyerahan trofi berkenaan dan penerimaan cek selepas jadual liga berakhir sehinggakan tidak berpeluang menjulang trofi di hadapan penyokong sendiri pada mulanya.

Perkara itu bagaimanapun selesai apabila rayuan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) supaya majlis penyerahan trofi itu diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV pada perlawanan terakhir Liga Super diterima oleh FAM, namun tidak dihadiri mana-mana pemimpin tertinggi FAM.

Namun, pada perlawanan semalam, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin telah hadir sendiri di Stadium Jalan Besar, untuk menyerahkan trofi Liga Super dan cek kepada Lions XII kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Situasi yang terjadi itu jelas mengundang satu persoalan besar mengapa perkara itu boleh terjadi dan menambahkan lagi kekecewaan para penyokong bola sepak tempatan selepas menyaksikan melihat trofi dari liga sendiri terlepas ke tangan orang luar.

Menjelaskan persoalan itu, Hamidin yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, mulai tahun lalu FAM sebenarnya telah mengubah pendekatan itu dan tiada lagi majlis penyerahan trofi di Wisma FAM selepas Kelantan berpeluang menjulang trofi Liga Super di hadapan penyokong sendiri sambil menolak tuduhan adanya layanan istimewa diberikan kepada Lions XII.

"Sekarang di FAM kami telah mengamalkan konsep baharu dengan setiap pemenang akan terus diberikan trofi seperti mana yang kita lakukan di Singapura, semalam dan bukannya ada layanan khas kepada Lions XII.

"Memang kami telah bersedia sekiranya Lions XII menang, kami akan terus berikan kepada mereka dan saya harap isu ini tidak perlu diperbesarkan, perkara sama juga berlaku jika pasukan lain yang menang, " katanya

Musim lalu, Kelantan memenangi kejuaraan Liga Super selepas mengalahkan Perak 6-0 pada 6 Julai tetapi FAM memberitahu majlis pemberian hadiah kemenangan akan diadakan pada 20 Julai.

Perkara itu ternyata menimbulkan perasaan kurang penyokong Kelantan sebelum FAM berlembut hati dengan membenarkan majlis pemberian trofi itu diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV pada perlawanan menentang Sarawak pada 14 Julai, iaitu aksi terakhir Liga Super 2012.

Tambah Hamidin, FAM telah mengubah pendekatan ini kerana telah memikirkan lebih meriah jika majlis pemberian trofi diadakan di hadapan penyokong sendiri.

"Perkara ini telah difikirkan sejak tahun lalu apabila Kelantan berpeluang menjulang trofi di hadapan penyokong sendiri dan ia diteruskan lagi pada tahun ini.

"Memang tidak meriah tanpa kehadiran penyokong sendiri dan sebab itulah kami tidak adakan lagi di Wisma FAM seperti mana sebelum ini sebaliknya memberikan terus di tempat mereka bermain," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan