Ahad, 7 Julai 2013

Lisa Surihani bakal diarah Yusry

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


LISA SURIHANI pertama kali akan berlakon di bawah arahan suaminya, Yusry. Dia mengaku, tidak mengetahui Yusry merupakan pengarah filem tersebut sehingga diberitahu penerbit.


SEJAK menjadi isteri kepada pengarah dan pelakon Yusry Abdul Halim, ternyata kemunculan Lisa Surihani sama ada di kaca televisyen atau layar perak agak berkurangan.
Berkesempatan menemuinya semasa pelancaran produk kecantikan terbaharu Garnier di Bangsar Village, Kuala Lumpur baru-baru ini, Lisa menjelaskan dia masih lagi aktif dengan kerjaya lakonannya. 

Ujar Lisa, suaminya juga langsung tidak menghalang untuk dia terus berlakon, namun mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan yang diberikan lantaran diberikan watak yang pernah dibawakannya sebelum ini. 

Selain itu, dia mendedahkan bahawa buat julung-julung kalinya dia akan berlakon dalam sebuah filem yang diarahkan suaminya setelah pernah sama-sama berlakon dalam filem berjudul Ular sebelum ini.

Kosmo!: Lisa memberitahu akan berlakon dalam sebuah filem arahan Yusry, jadi boleh jelaskan lebih lanjut mengenainya?
LISA: Saya ingin meminta maaf kerana tidak boleh mendedahkan lebih lanjut mengenainya memandangkan pihak penerbit akan mengadakan satu sidang akhbar mengenainya nanti. Apa yang boleh saya beritahu bahawa filem tersebut akan diarahkan oleh Yusry dan penggambaran dijangka bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Adakah anda menerima tawaran tersebut kerana ia diarahkan oleh suami sendiri?
Sebenarnya ia bukanlah faktor utama saya terima tawaran itu, sebaliknya saya agak tertarik dengan jalan ceritanya. Lagipun saya diberitahu Yusry akan mengarahkan filem berkenaan sewaktu saya dihubungi oleh pihak produksi.

Bagaimanakah pula kalau timbul dakwaan yang mengatakan tawaran itu diberikan kerana anda merupakan isteri kepada Yusry?
Untuk pengetahuan semua, dakwaan tersebut memang tidak benar sama sekali, malah saya juga tidak terus diterima untuk berlakon dalam filem tersebut. Sebaliknya, saya perlu menjalani sesi uji bakat bersama pihak produksi terlebih dahulu untuk melihat kesesuaian watak yang akan saya lakonkan nanti. Kalau saya gagal dalam uji bakat itu pastinya saya tidak akan diterima berlakon, meskipun ia diarahkan suami sendiri.

LISA dan Yusry masih berharap untuk dikurniakan cahaya mata.


Apakah perasaan anda apabila diberitahu Yusry bakal mengarahkan filem tersebut?
Sebelum ini kami pernah berlakon bersama dalam filem berjudul Ular. Jadi, dapat berlakon dalam filem yang diarahkan oleh suami sendiri pastinya saya berasa cukup teruja. Sebenarnya saya selalu mengikut Yusry pergi bekerja dan dapat melihat sendiri kerja-kerja yang dilakukannya. Semasa menghasilkan filem Vikingdom, saya lihat cara kerja Yusry cukup profesional.

Sebelum ini, anda bernaung di bawah syarikat Metrowealth selama lima tahun sebelum mengambil keputusan untuk keluar. Bagaimanakah pergerakan karier seni anda selepas tidak lagi bersama Metrowealth?

Bagi saya tidak terdapat banyak perbezaan yang ketara. Kalau dahulu ada orang yang menguruskan jadual lakonan serta sesi fotografi, kini saya terpaksa melakukannya sendiri. Sebenarnya ia memberi manfaat buat diri saya untuk mendapat lebih banyak lagi pengalaman. Lagipun semasa hendak keluar dahulu saya ada memberitahu David Teo yang saya ingin berdikari.
Bagaimanakah jadual anda semasa bulan puasa ini?

Setakat ini tiada sebarang penggambaran drama atau filem yang melibatkan saya semasa bulan puasa. Saya lebih banyak terikat dengan aktiviti berbuka puasa yang dianjurkan oleh beberapa produk yang melibatkan saya. Nampak seperti saya tidak banyak kerja, namun apabila melihat jadual, rupa-rupanya saya cuma ada lima hari sahaja waktu bercuti sepanjang puasa nanti. Jadi, waktu yang ada itu saya luangkan untuk berbuka puasa bersama suami dan keluarga.

Ceritakan sedikit tentang kerjasama anda dan produk kecantikan Garnier?
Kerjasama saya dengan Garnier sudah memasuki tahun keempat dan saya memang merupakan pengguna setia produk ini sejak dari sekolah menengah lagi. Produk ini memang cukup sesuai untuk penjagaan kulit muka agar kelihatan sihat dan bersih.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.m
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan