Ahad, 7 Julai 2013

Lions XII boleh kena tindakan - FAM

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

KUALA LUMPUR - Padah boleh menanti Lions XII sekiranya terdapat aduan berasas yang menunjukkan mereka tidak membenarkan penggunaan padang di Stadium Jalan Besar, sehari sebelum perlawanan kepada pasukan pelawat.

Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang berkata, menjadi satu kesalahan sekiranya pasukan tuan rumah tidak memberikan ruang kepada mana-mana pasukan lawan menguji terlebih dahulu permukaan padang tanpa sebarang alasan yang kukuh.

Ujarnya, pasukan yang terlibat boleh menyatakan aduan secara rasmi kepada badan induk bola sepak negara itu dan mereka turut akan meneliti laporan dikemukakan oleh pegawai perlawanan bagi mendapatkan bukti.

"Menurut pemahaman saya difahamkan ada sebahagian pasukan tidak dapat menggunakan Stadium Jalan Besar sehari sebelum perlawanan manakala yang sebahagiannya tidak berdepan sebarang masalah, namun menjadi satu kesalahan jika mereka tidak membenarkan lawan berlatih tanpa sebarang alasan yang kukuh melainkan mereka ada perkara lain untuk digunakan di atas padang tersebut.

"Pengecualian latihan di tempat perlawanan sehari sebelum aksi sebenar hanya dibolehkan jika cuaca hujan kerana boleh merosakkan permukaan padang tetapi di Jalan Besar adalah padang tiruan, jadi sudah tentu tiada sebarang masalah.

"JKPT FAM amat prihatin apabila mendengar permasalahan ini dan mereka boleh mengemukakan aduan rasmi kepada FAM dan akan meneliti laporan yang dikemukakan oleh komisioner perlawanan," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Liga Futsal Felda Kebangsaan 2013 di Menara Felda, semalam.

Dalam laporan Utusan Malaysia pada 5 Julai lalu, jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan dan Perak, Mohd. Azraai Khor ada menyatakan yang pasukan mereka tidak dibenarkan menjalani latihan di Stadium Jalan Besar, sehari sebelum perlawanan dan hanya diberikan padang latihan tiruan di Bukit Timah.

Faktor itu menyebabkan mereka tidak menyesuaikan diri dengan keadaan padang tiruan di Jalan Besar yang berbeza dan menyukarkan perancangan jurulatih mencongak strategi.

Selain itu, pemain mereka juga berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan permukaan padang tiruan kerana menjadikan pergerakan bola terlalu laju yang menyebabkan mereka sukar untuk melakukan serta menerima hantaran.

Lions XII muncul juara Liga Super 2012 setelah mengaut 31 daripada 43 mata di Jalan Besar dan tidak kalah di gelanggang sendiri kepada mana-mana pasukan.

Dalam perkembangan yang sama, Hamidin menjelaskan, soal penggunaan padang tiruan tidak menjadi satu masalah besar kerana mendapat pengiktirafan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
"Perkara ini mula menjadi isu selepas Lions XII menjuarai Liga Super baru-baru ini sedangkan mereka telah menggunakan padang tiruan sejak musim lalu.

"Sebenarnya tiada masalah untuk beraksi di atas padang tiruan kerana telah mendapat kebenaran FIFA, namun kami di FAM bersetuju menerima sebarang pendapat rungutan daripada semua pihak," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan