Jumaat, 5 Julai 2013

Giggs, Neville sertai Moyes



GIGGS


LONDON - Pemain veteran Manchester United, Ryan Giggs diberi peranan sebagai jurulatih pasukan musim depan.

Bekas pemain United dan Everton, Phil Neville turut disenaraikan dalam skuad kejurulatihan pengurus baharu, David Moyes.

Moyes yang akan memulakan tugas di Old Trafford minggu ini turut menyenaraikan Steve Round, Chris Woods dan Jimmy Lumsden dari Everton untuk membentuk satu pasukan kejurulatihan yang mantap.

Giggs yang menandatangani sambungan kontrak selama setahun pada Mac lalu, sekali gus terus beraksi sehingga berusia 40 tahun akan menyertai pasukan itu.

"Saya berasa bangga apabila Giggs menerima tawaran untuk menjadi jurulatih pemain.

"Kejayaan dan kemampuannya untuk menyesuaikan diri dengan permainan sepanjang beberapa tahun lalu memberikann satu perspektif yang tiada tandingan dalam permainan moden.

"Kariernya adalah satu contoh untuk memberi inspirasi kepada pemain muda dan saya yakin, dia dan pemain-pemain akan memperoleh faedah daripada tugas baharunya itu," kata Moyes.

Giggs dijangka akan mengambil lesen profesional UEFA musim panas depan.

"Satu keistimewaan yang besar apabila dilantik menjadi seorang jurulatih pemain. Saya harap, saya mampu menggunakan pengalaman yang diperoleh sebagai seorang pemain dan sebahagian daripada keluarga United selama ini.

"Tidak ada rahsia lagi bahawa saya akan mengambil lesen dan saya lihat ini adalah langkah pertama dalam karier masa depan saya. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Moyes serta pasukan," kata Giggs.

Giggs, 39, mengakui teruja mengenai prospek untuk memulakan karier kejurulatihan baru-baru ini.
Sementara itu, Neville yang menjadi kapten ketika Moyes membimbing Everton juga akan menyertai pasukan kejurulatihan selepas mengumumkan persaraan akhir musim lalu.

Dia tiba di kompleks latihan United semalam dan bersedia untuk kembali ke kelab di mana dia menghabiskan masa selama 10 tahun sebelum berpindah ke Goodison Park pada 2005.

Neville, 36, memperoleh pengalaman bersama skuad Bawah 21 tahun (B21) bimbingan Stuart Pearce pada Kejohanan Bola Sepak Eropah di Israel baru-baru ini.
- Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan