Jumaat, 5 Julai 2013

Suarez ke Arsenal?

LONDON - Selama ini penyerang sensasi Liverpool, Luis Suarez hanya dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid.


Begitupun semalam, bookie di England mengemukakan satu fakta yang mengejutkan apabila bintang Uruguay itu dikatakan akan meninggalkan Anfield untuk menyertai kelab London, Arsenal. 

Bookie bola sepak Inggeris terus menerima banyak pertaruhan bahawa Suarez akan pergi ke Emirates menerusi perpindahan bernilai 25 juta pound (RM121.5 juta). 

Pendedahan terbaharu tersebut pasti sesuatu yang amat mengejutkan kerana pemain kontroversi Reds itu hanya bercakap tentang Real Madrid selama ini dan tidak pernah dikaitkan dengan kelab domestik lain.

Bookie juga dikatakan terpaksa berhenti daripada mengambil wang daripada pertaruh yang percaya penyerang Uruguay itu akan menyertai Gunners kerana telah menerima pertaruhan yang sangat besar melibatkan perpindahannya ke Sepanyol. 

"Saya percaya, mereka (pertaruh) pasti telah mendengar satu berita yang sangat kuat sehingga berani bertaruh," kata jurucakap syarikat pertaruhan terbesar di England, William Hill, Rupert Adams.

Suarez, 26, dikaitkan dengan perpindahan ke Real sejak dia menyuarakan keinginannya untuk meninggalkan Liverpool pada musim panas ini. 

Reds akan berusaha melakukan apa saja yang termampu untuk menahan bintang penyerang mereka itu daripada meninggalkan Alfield, malah mengadakan mesyuarat tergempar selepas akhbar Sepanyol mendedahkan Suarez telah mengadakan pertemuan sulit dengan Real. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan