Jumaat, 5 Julai 2013

United tunggu 'isyarat' Rooney


ROONEY dijangka berbincang mengenai masa depannya bersama Moyes minggu ini.


LONDON - Penyerang Manchester United, Wayne Rooney dilaporkan perlu mengemukakan permohonan rasmi sekiranya kekal dengan keputusannya untuk meninggalkan Old Trafford musim depan.

Pada akhir musim lalu, bekas pengurus United, Alex Ferguson mendakwa penyerang berusia 27 tahun itu menyuarakan hasratnya untuk berpindah buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun tetapi ditolak kelab yang disertainya dari Everton pada 2004 itu.

Sejak itu, laporan akhbar mendakwa penyerang antarabangsa England tersebut tidak gembira pendedahan dan spekulasi mengenai masa depannya yang turut dikaitkan dengan Arsenal, Chelsea dan Paris Saint-Germain.

Rooney dijangka berbincang bersama pengurus baharu skuad The Red Devils, David Moyes minggu ini.

Bagaimanapun, menurut laporan sebuah akhbar di London, United 'tenang' menghadapi situasi itu.
Rooney masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun dengan United dan dia perlu mengemukakan permohonan untuk berpindah secara rasmi bagi merealisasikan impiannya itu.
Sementara itu, pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique yang menghabiskan masa selama empat tahun di Old Trafford, menyokong keputusan Rooney untuk berpindah ke Stadium Nou Camp, Ogos depan.

"Saya tahu, dia mahu menjadi salah seorang pemain terbaik di dunia. Dia sangat sesuai bermain dengan Barcelona.

"Dia mampu beraksi dalam banyak posisi. Posisi terbaiknya adalah sebagai penyerang utama tetapi kami boleh meletakkannya di sebelah kiri atau kanan.

"Dia adalah seorang pemain serba boleh, kuat dan pantas," kata Pique. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan