Isnin, 8 Julai 2013

Elfira Loy selesa menjadi adik kepada Zoey Rahman




KEJAYAAN yang dikecapi oleh pelakon genit Elfira Loy kian meningkat oleh kerana bakat semula jadinya. 

Namun, ia seiring dengan pelbagai spekulasi dan kontroversi yang perlu dilaluinya sepanjang berada dalam dunia seni.

Terbaharu, pemilik nama sebenar, Nurul Elfira Loy ini dikatakan rapat dengan hos Gerak Geri Gasing, Zoey Rahman yang juga seorang pelakon.

Mereka mula rapat selepas bersama-sama menyertai program Fear Factor Selebriti, selain bergandingan dalam drama terbaharu arahan Aziz M. Osman, Demi Dia.

Gosip yang mengaitkan mereka mulai tercetus selepas foto-foto kemesraan mereka boleh dlihat menerusi laman Instagram. 

Malah, Elfira juga dikatakan memanggil Zoey dengan panggilan Abang.

Elfira yang kelihatan manis dalam busana labuh hitam dan merah jambu ditemui pada majlis sempena sidang akhbar Seindah Ramadhan baru-baru ini, bagaimanapun menafikan gosip cintanya bersama Zoey itu.

"Saya panggil Zoey abang, sebab dia sangat rapat dengan saya serta kenal seluruh keluarga saya. Saya hanya anggap dia sebagai abang dan tidak mungkin bercinta dengannya.

"Saya kenal Zoey sejak usia saya 11 tahun lagi. Dia pun rapat dengan famili saya. Kami memang tak boleh bersama (bercinta). Sebab saya sudah anggap dia macam abang saya. Kalau saya bercinta dengan dia pun, saya rasa macam sumbang mahram pula," tuturnya sambil ketawa. 

Melalui akaun Instagram pelakon comel ini, terdapat beberapa gambar yang menunjukkan kemesraan terjalin antara mereka berdua ketika penggambaran drama Demi Dia di Munich, Jerman membuatkan peminat mereka benar-benar setuju dengan perkhabaran tersebut.

"Sebelum ini semua orang tidak tahu yang saya rapat dengan Zoey, oleh sebab beberapa gambar semasa penggambaran drama Demi Dia, peminat menyangka saya dan Zoey bercinta."

ELFIRA (kiri) dalam satu babak drama Demi Dia.


"Setiap kali saya berlakon dalam mana-mana drama dan digandingkan dengan beberapa aktor lelaki yang terkenal, mereka mesti cakap saya bercinta. Padahal, saya hanya bekerja dan berkawan dengan mereka."

"Saya sudah biasa apabila mereka gosipkan saya dengan mana-mana hero yang pernah bergandingan dengan saya dalam drama ataupun filem. Kalau sebelum ini, saya rapat dengan Dafi, Hairul Azreen dan Zoey. Kesemuanya pernah digosipkan, jadi saya sudah biasa," ujarnya.

Apabila ditanya tentang keserasiannya berlakon dengan Zoey sebagai suami isteri dalam drama Demi Dia, ujar Elfira, pada mulanya dia berasa agak kekok dan kelakar.

Namun, atas dasar kerja mereka terpaksa menjarakkan diri antara satu sama lain demi mendapat mood yang baik.

"Pada mulanya, sangat susah. Apabila ada babak yang perlu kami berlakon untuk jadi romantik mesti salah seorang akan gelak. 

"Tidak boleh serius langsung. Jadi jalan penyelesaiannya, saya dan Zoey terpaksa menjarakkan diri buat sementara waktu bagi menimbulkan perasaan romantik antara kami berdua," katanya.

Demi Dia mengisahkan Zack (Zoey) yang berkahwin dengan Azura (Elfira) namun perkahwinan mereka ditentang oleh bapa Zack. Percintaan mereka diduga. Zack kemalangan dan memorinya bersama Azura hilang.

Pelakon Indonesia
Gadis genit berusia 19 tahun ini sering kali mendapat peluang berlakon bersama beberapa aktor terkenal Indonesia antaranya, Randy Pangalila dan Baim Wong.

Ada antara peminat-peminat tegar aktor Indonesia sangat marah dan tidak boleh menerima kenyataan apabila mereka digandingkan bersama.

Malah, terdapat beberapa cerita mengenai pencintaan timbul oleh kerana sering berlakon bersama.
Mengulas mengenai dakwaan tersebut, Elfira membidas dengan menjelaskan mereka hanya kawan rapat dan sama sekali tidak bercinta.

"Saya masih lagi baik dengan Randy dan berhubung melalui telefon, tetapi saya hanya rapat dengan Randy atas urusan kerja dan kawan artis."
ELFIRA mengakui senang memanggil Zoey dengan gelaran abang.


Terbaharu, Elfira dikatakan hangat bercinta dengan pelakon dari seberang Baim Wong. Lebih-lebih lagi susulan kemunculan mereka bersama dalam program MeleTOP baru-baru ini dan Baim seperti memberikan gambaran yang mereka sedang berpacaran.

"Sebenarnya, saya selesa berlakon dengan mereka dan tiada niat untuk bercinta kerana saya terlalu muda untuk bercinta. Saya juga belum habis belajar dan masih banyak yang perlu diuruskan."

Elfira juga turut menyatakan dia selesa berlakon dengan pelakon dari seberang oleh kerana bahasa tuturan yang sangat senang didengar dan mereka dikatakan lebih romantik jika dibandingkan dengan pelakon lelaki Malaysia.

"Saya suka dengar orang Indonesia bercakap, bahasa yang digunakan sangat dalam maksudnya dan romantik. Jadi bila berlakon, mood itu sampai. Saya tidak kisah pun berlakon dengan pelakon Malaysia atau Indonesia. Perasaan itu tetap sama," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan