Ahad, 7 Julai 2013

Alcantara semakin hampiri Old Trafford

LONDON - Bintang muda Sepanyol, Thiago Alcantara hanya selangkah lagi untuk tiba di Manchester United. 

Menurut sumber rapat kepada pemain tengah bawah 21 tahun Sepanyol itu, perjanjian lima tahun bernilai 17.5 juta pound (RM83.14 juta) sudah memasuki peringkat 'akhir' dan hanya memerlukan sedikit perincian sebelum ditandatangani. 

Beberapa hari lalu, Alcantara dijadikan model jersi baharu Barcelona, perkembangan yang mencetus spekulasi bahawa perjanjian ke Old Trafford mungkin tidak akan menjadi kenyataan.

Namun, semalam, ketua pasukan bawah 21 tahun Sepanyol itu memberitahu rakan rapatnya bahawa cabarannya di La Liga sudah berakhir. 

Malah, bapa Alcantara, Mazinho, bekas pemenang Piala Dunia bersama Brazil pada 1994 mahu menjual restorannya, Campechano yang terletak di Barcelona kerana bersedia untuk berpindah ke England. 

Pengurus baharu United, David Moyes bagaimanapun masih keberatan untuk mengakui bahawa pemain berusia 22 tahun itu dalam perjalanan ke Old Trafford.

Begitupun perpindahan tersebut menjadi semakin jelas minggu lalu apabila Alcantara memilih untuk meninggalkan Nou Camp kerana kecewa peluangnya untuk menyarung jersi Sepanyol pada Piala Dunia tahun depan amat tipis selagi dia berada di Barcelona.

Walaupun menjadi nadi Sepanyol ketika merangkul Piala Dunia Bawah 21 tahun bulan lalu, namun Alcantara jarang diberi peluang berada dalam kesebelasan juara Liga Sepanyol itu kerana perlu menyaingi beberapa bintang besar pasukan seperti Cesc Fabregas, Andres Iniesta dan Xavi. 

Selain United, juara Eropah, Bayern Munich yang kini dikendalikan oleh bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola turut menyuarakan minat terhadap bekas anak didiknya itu.

"Thiago sangat teruja tentang peluang bermain dalam Liga Perdana Inggeris. Dia adalah peminat liga berkenaan," kata sumber rapat pemain tersebut. - AGENS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20130708/sl_03/Alcantara-semakin-hampiri-Old-Trafford#ixzz2YQXGq7Om
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan