Rabu, 10 Julai 2013

Era Moyes bermula



GIGGS (kiri) dan Rooney (dua dari kiri) antara pemain yang mengikuti sesi latihan pertama Moyes di padang latihan Carrington, Manchester kelmarin.


LONDON - David Moyes memulakan era baharu di Manchester United apabila mengendalikan sesi latihan bersama skuad tersebut di padang latihan Carrington, Manchester kelmarin.

Pengurus baharu United itu dibantu penolongnya, Steve Round dan dilihat menggunakan pendekatan berbeza dengan Alex Ferguson yang lebih memberikan kuasa kepada dua jurulatihnya, Mike Phelan dan Rene Meulensteen mengendalikan sesi latihan mereka sebelum ini.

Penyerang kontroversi, Wayne Rooney dan pemain baharu, Wilfried Zaha serta pemain merangkap jurulatih, Ryan Giggs antara tonggak yang mengikuti sesi latihan itu.

Zaha, 20, kelihatan bersemangat untuk memikat hati Moyes pada sesi latihan itu meskipun timbul laporan bahawa dia mungkin akan dipinjamkan ke kelab lain bagi mengutip pengalaman selepas melengkapkan perpindahan bernilai £15 juta (RM71.1 juta) dari Crystal Palace.

Meskipun memiliki reputasi sebagai pengurus yang berhemah dan berdisiplin serta tidak terlalu banyak memberi perhatian kepada perkara remeh-temeh, Moyes terpaksa menerima tradisi yang perlu diteruskannya.

"Saya berada di sebuah kelab yang mana perkataan kejayaan adalah sebati dengan lambang kelab ini.
"Saya mahu kami bermain dengan cara yang sama dan tradisi yang sama iaitu mempamerkan permainan yang menghiburkan serta mengujakan.

"Namun, saya sentiasa katakan bahawa perkara paling penting dalam bola sepak ialah kemenangan.
"Saya akan terus meletakkan kemenangan sebagai keutamaan dalam kelab ini," kata Moyes. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan