Rabu, 10 Julai 2013

Atur aksi persahabatan kelas A

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

RAJAGOBAL (dua dari kiri) lebih gemar bereksperimen sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tanah air.


LEGENDA bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh menyifatkan kejatuhan ranking Harimau Malaya berpunca daripada kegagalan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu mengadakan aksi persahabatan kelas A dengan pasukan-pasukan kebangsaan.

Menurut Shukor, kedudukan Harimau Malaya dalam ranking dunia mungkin akan jatuh atau terus statik jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lebih gemar mengatur aksi ‘pemanas badan’ menentang pasukan berstatus kelab.

“Kita harus sedar ranking skuad negara (Harimau Malaya) tidak begitu bagus ketika ini dan sepatutnya kita mengambil langkah langkah untuk memperbaiki situasi itu.

“Jika Indonesia boleh mengaturkan perlawanan menentang Belanda, mengapa kita tidak boleh melakukan demikian dan ranking kita adalah lebih baik daripada mereka (Indonesia) yang menduduki tangga ke-168 dunia.

“Saya lihat skuad negara kita lebih kerap menentang pasukan berstatus kelab dan ini bukanlah satu langkah yang positif.

“Persoalan sekarang, sampai bila kita hendak lawan pasukan berstatus kelab? Kini terserah kepada pihak pengurusan FAM untuk menetapkan hala tuju skuad negara ke arah lebih baik,” kata Shukor ketika dihubungi semalam.

Berdasarkan ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Per sekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) minggu lalu, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu kekal menghuni tangga ke-159, sama seperti kedudukan bulan lalu.

Ketika mengadakan sesi latihan di Australia bulan lalu, Harimau Malaya turut berpeluang ‘mengasah taring’ dengan menentang tiga kelab dari negara itu.

Selasa depan, anak-anak buah Rajagobal dijadual menentang kelab Thailand, Chonburi FC pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam sebelum menentang gergasi England, Chelsea 21 Julai nanti.
Pada penghujung bulan ini pula, Harimau Malaya akan mengadakan tiga aksi persahabatan dengan tiga kelab Jepun.

Sejurus tamat ‘berguru’ di Jepun, Harimau Malaya dijadual menentang juara Liga Sepanyol, Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

“Saya faham, jurulatih (Rajagobal) mahu menguji kekuatan dan kelemahan pasukan tetapi lebih baik lawan dengan pasukan kebangsaan.

“Kejayaan lalu (pemenang pingat emas acara bola sepak Sukan SEA 2009 dan juara Piala AFF Suzuki 2010) tidak boleh dijadikan ukuran, sebaliknya jadikan sebagai satu suntikan untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

“Mahu ranking lebih baik, kita sepatutnya menentang dengan pasukan kebangsaan, bukan lawan kelab,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan