Rabu, 10 Julai 2013

Schwarzer sah milik Chelsea



SCHWARZER (terbaring) mengambil keputusan drastik untuk meninggalkan Fulham bagi menyertai Chelsea selama setahun.


LONDON - Penjaga gol veteran Australia, Mark Schwarzer mempertaruhkan masa depannya dengan menyertai Chelsea kelmarin.

Schwarzer, 40, berkata, dia membuat keputusan itu kerana mahu merasai pengalaman beraksi di bawah kendalian pengurus baharu skuad The Blues, Jose Mourinho.

Schwarzer menandatangani kontrak selama setahun selepas meninggalkan Fulham secara percuma bulan lalu.

"Chelsea merupakan sebuah kelab yang menakjubkan. Mereka antara kelab terhebat dan terbaik di Eropah serta dunia.

"Ia satu penghormatan untuk bermain dengan Chelsea. Saya tidak perlu mengambil masa yang lama untuk bersetuju datang ke sini (Stamford Bridge).

"Saya telah bercakap dengan pengurus dan ini adalah satu keputusan yang mudah. Saya anggap Chelsea sebagai kelab yang sesuai dengan saya.

"Impian dan cita-cita besar kelab ini serta peluang yang terhidang di sini, semuanya memenuhi permintaan saya. Ia satu peluang yang besar untuk menyertai kelab yang hebat," kata Schwarzer.

Schwarzer merupakan pemain asing pertama yang telah membuat 500 penampilan dalam Liga Perdana England dan dia mampu menyelesaikan dilema yang dihadapi Chelsea di posisi penjaga gol.

Ketika ini juara Liga Europa itu mencari seorang penjaga gol simpanan kepada Petr Cech setelah mereka melepaskan Ross Turnbull dan Hilario.

Usaha mereka mendapatkan penjaga gol muda England, John Ruddy juga telah ditolak Norwich.
Schwarzer telah membuat 108 penampilan dengan Australia dan akan beraksi di Piala Dunia 2014 di Brazil.

Selepas memulakan karier dalam kempen Liga Jerman, Schwarzer menyertai Bradford pada 1996 dan kemudian menyertai Middlesbrough di mana dia telah beraksi lebih 400 perlawanan dalam tempoh 11 tahun.

Antara pencapaiannya ialah menjulang Piala Liga 2003 dan beraksi pada final Piala UEFA pada 2006.

Selain itu, dia juga telah beraksi sebanyak 220 kali dengan Fulham. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan