Isnin, 15 Julai 2013

Piya lega FAM terima penjelasan

Mohd. Badhri 
 
KOTA BHARU - Ketua pasukan bola sepak Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi menarik nafas lega selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima alasan kecederaan dialaminya.

Isu kelewatan Badhri melapor diri ke kem latihan skuad kebangsaan selesai selepas doktor dan ahli fisioterapi FAM yang memeriksa mengesahkan dia mengalami kecederaan pangkal paha.

Mohd. Badhri atau Piya ketika dihubungi mengakui lega apabila isu itu selesai selepas mengemukakan laporan perubatan dan alasan kepada FAM.

Menurut Piya, dia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal kerana dapat menerima penjelasan berhubung kecederaan dialaminya.

"Alhamdulillah isu ini telah selesai sepenuhnya. Saya harap tiada lagi sebarang kontroversi yang timbul berhubung isu ini.

"Hasil pemeriksaan oleh doktor dan ahli fisioterapi FAM mendapati sememangnya terdapat kecederaan hamstring. Jadi doktor nasihatkan saya supaya berehat dan kembali menyambung rawatan selanjutnya di Kota Bharu," katanya ketika dihubungi semalam.

Isu Mohd. Badhri yang lewat melapor diri ke kem latihan skuad negara, hanya akan dianggap selesai setelah doktor dan ahli fisioterapi FAM memeriksa dan memastikan keadaan kecederaan ketua pasukan Kelantan itu.

Kehadiran pemain berusia 31 tahun itu di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin, sekali gus melupuskan kemungkinan sebarang tindakan tatatertib ke atasnya.

Perancang tengah Kelantan itu mengalami kecederaan itu pada perlawanan terakhir Liga Super antara Kelantan dengan Lions XII di sini yang menyaksikan dia terpaksa di usung keluar.

Dia yang memakai jersi nombor 16 ketika mewakili The Red Warriors bagaimanapun tetap memasang impian untuk menggalas tugas mengemudi jentera tengah Harimau Malaysia.
"Insya-Allah sekiranya kecederaan yang dialami ini pulih saya bersedia sepenuhnya untuk memerah keringat membantu pasukan kebangsaan.

"Saya bertekad mahu membuktikan bahawa pemilihan untuk mengemudi jentera tengah bukanlah satu kesilapan dengan memberikan aksi terbaik dalam perlawanan tersebut," ujarnya.

Tambah Piya, dia begitu teruja dengan sokongan peminat yang mahu melihatnya mengemudi jentera tengah pasukan kebangsaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan