'Pengadil pro lepas Piala Malaysia' Aizuddin ditemani Hamidin bertemu kakitangan FAM pada majlis perpisahan di Wisma FAM, petang semalam.
Jawatankuasa akan kaji lebih terperinci bila boleh dilaksana: Hamidin

Kelana Jaya: Khidmat pengadil profesional sepenuh masa di Liga Malaysia (Liga-M) akan tetap dilaksanakan, tetapi bukan untuk saingan Piala Malaysia bermula 17 Ogos ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata cadangan itu tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini terutama untuk aksi Piala Malaysia kerana pelaksanaannya memerlukan kajian terperinci terlebih dahulu.


“Untuk Piala Malaysia, saya rasa belum boleh lagi. Kita akan lihat dahulu perkara ini.

“Kita akan bincang dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengadil FAM yang dipengerusikan Datuk Astaman Abdul Aziz untuk melihat pro dan kontra jika ia dipraktikkan dalam Liga-M.

“Jawatankuasa akan mengkaji secara terperinci dan membuat keputusan bila ia boleh dilaksanakan,” kata Hamidin pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Beliau berkata, apa yang dicadangkan sebelum ini adalah salah satu opsyen untuk membaiki mutu pengadilan bola sepak negara.
“Kita tak boleh terus berada di takuk lama, perlukan perubahan. Mana yang baik, kita cuba perbaiki,” katanya.


Tiada pinjaman pemain

Sementara itu, Hamidin berkata FAM sudah memutuskan tiada pinjaman pemain untuk Piala Malaysia musim ini seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Kita sudah bincangkan perkara ini dalam seminar dan taklimat sebelum musim 2013 bermula. Ia juga sudah termaktub dalam buku peraturan pertandingan Liga Malaysia,” katanya.

Mengenai seorang penyokong Kelantan, Mohammad Razuki Derahman, 40, yang dilaporkan hampir pekak dan cedera di telinga kiri selepas berlaku letupan mercun berhampiran tempat duduknya ketika aksi final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 29 Jun lalu, Hamidin mengakui agak sukar untuk pihaknya menghalang 100 peratus ‘penyeludupan’ mercun dan saur setiap kali berlangsungnya perlawanan Liga-M.

“Larangan membawa masuk mercun dan suar ke stadium memang sudah lama kita kuat kuasakan. Malah, pihak polis dan FAM sudah bertungkus lumus melakukan kawalan tetapi penyokong atau penonton masih dapat membawa masuk bahan larangan itu,” katanya.