Pertemuan dengan Algeria jadi tanda tanya Tindakan Wan Zaharul Nizam (kiri) menerima kad merah ketika bertemu Britain, kelmarin menyukarkan skuad negara.
Pertembungan antara Britain dan Itali, esok menjadi penentu sama ada Malaysia layak ke suku akhir acara bola sepak atau tidak selepas tewas 0-2 kepada Britain, kelmarin.

Skuad Harimau Muda A yang berbekalkan 17 pemain dijadual bertemu Algeria pada hari sama namun status sebenar lawan masih menjadi ‘tanda tanya’ apa lagi tanpa sebarang hitam putih daripada penganjur.
Pada perlawanan pembukaan Jumaat lalu, Algeria tidak turun beraksi menentang Britain dan ketua jurulatih, Ong Kim Swee berkata: “Saya was-was juga kerana Algeria dimaklumkan tidak hadir pada kejohanan kali ini.


“Kita perlu tahu secara rasmi yang mana kita memerlukan surat mengatakan pasukan tidak perlu ke perlawanan bertemu Algeria dan jika terjadi (Algeria tarik diri) maka kita akan mendapat kemenangan percuma.

Susahkan pasukan

“Jika Algeria tidak turun bermakna kita mempunyai peluang cukup baik untuk ke suku akhir tetapi ia bergantung kepada perlawanan Itali dan Britain nanti (esok).”

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama naib juara edisi 2011 Britain, Itali dan Algeria.
Mengulas mengenai perlawanan menentang Britain yang menyaksikan Malaysia mengumpul satu lagi kad merah oleh Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Kim Swee berkata, dia sudah memberi amaran kepada pemain supaya berhati-hati namun ia tetap berlaku.

“Saya sudah beri amaran kepada semua pemain terutama selepas aksi bersama Itali yang mana kad merah tak sepatutnya kita lakukan. Namun ia tetap berlaku jadi amaran keras perlu dikeluarkan kepada setiap pemain kerana ia tidak seharusnya menjadi kebiasaan kerana akan memudaratkan pasukan di masa akan datang,” katanya.