Jumaat, 12 Julai 2013

Piya berada dalam zon bahaya

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

PIYA mengangkat sembah kepada Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra ketika aksi final Piala FA, 29 Jun lalu.


KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi atau Piya bakal berdepan tindakan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran kegagalannya melaporkan diri untuk sesi latihan Harimau Malaya yang bermula kelmarin.

Pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan, perancang The Red Warriors itu akan diberikan surat tunjuk sebab kerana masih tidak menyertai kem latihan tanpa memberi sebarang alasan.

Menurut Subahan, setiap pemain yang disenaraikan bagi mengikuti kem latihan Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih, Datuk K. Rajagobal wajib melaporkan diri meskipun ditimpa masalah kecederaan.

"Mana-mana pemain cedera, harus melaporkan diri terlebih dahulu dan pegawai fisioterapi pasukan akan memeriksa tahap kecederaan mereka.

"Apabila isu ini timbul, ramai yang menuding jari kepada kami kenapa tidak memanggil pemain ini (Badhri).

"Ada beberapa kali kami panggil pemain ini tetapi kadang-kadang mereka tidak mahu datang tetapi kami tidak guna kuasa yang ada, sebab kami hanya mahu pemain yang benar-benar berminat (menyertai Harimau Malaya).

"Namun, kami akan gunakan peruntukan sedia ada untuk mengambil tindakan kepada pemain yang tidak hadir tanpa alasan kukuh.

"Bagi kes Badhri, kami masih berlaku adil dan akan menghantar surat tunjuk sebab kepada dia esok (hari ini)," kata Subahan ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya tidak melaporkan diri mengikuti kem latihan Harimau Malaya sejak Khamis lalu.

Difahamkan, Piya ditimpa masalah hamstring selain mengalami masalah kelewatan penerbangan yang menjadi punca mengapa pemain berusia 31 tahun itu tidak bersama Harimau Malaya ketika ini.
Piya turut tidak menyertai Harimau Malaya ketika menjalani siri perlawanan persahabatan di Australia bulan lalu gara-gara masalah kecederaan.

Untuk rekod, Piya sekadar membuat dua penampilan bersama Harimau Malaya ketika tewas 1-4 kepada Arab Saudi (17 Mac) dan mengalahkan Yemen 2-1 (22 Mac).

Dalam perkembangan sama, Rajagobal memberitahu: "Kita mahu tahu apa sebab kenapa Piya tidak hadir sebelum buat sebarang kesimpulan.

"Saya akan meminta penjelasan daripada Piya atau Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kerana itu adalah polisi FAM," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan