Oleh YATIMIN ABDULLAH
KOTA BHARU - Meskipun saingan Piala Malaysia musim ini belum bermula,
namun sudah timbul khabar angin mengatakan ketua pasukan Kelantan,
Mohd. Badhri Radzi atau Piya menerima tawaran lumayan untuk beraksi
dengan Johor Darul Takzim.
Khabar angin yang tersebar luas di laman sosial facebook mengatakan
jeneral Kelantan itu bakal menerima gaji bulanan berjumlah RM100,000,
selain pasukan berkenaan bersedia membayar wang perpindahan bernilai
RM3juta.
Bagaimanapun, Piya yang dihubungi Utusan Malaysia menafikan khabar
angin tersebut dan meluahkan rasa kecewa dengan tindakan mereka yang
terlibat dalam penyebaran spekulasi berkenaan.
Menurutnya, ekoran spekulasi berkenaan, ramai pihak telah menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan.
Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah menerima tawaran
tersebut sebagaimana yang digembar-gemburkan di laman sosial facebook,
termasuklah dari pasukan-pasukan lain.
Jadi saya berharap mereka yang membuat spekulasi ini supaya
menghentikan tindakan ini kerana dikhuatiri ia akan mengeruhkan keadaan.
Apa yang penting, mahu fokus dan membantu Kelantan mempertahankan
Piala Malaysia sekali lagi pada tahun ini," katanya ketika dihubungi di
sini semalam.
Tambahnya, lagipun dia masih mempunyai dan menghormati kontraknya bersama Kelantan.
Mohd. Badhri ternyata berada pada kelas tersendiri apabila menjadi
ketua pasukan Kelantan pertama mendakap kesemua kejuaraan dalam saingan
Liga Malaysia (Liga M).
Pencapaian membanggakan anak kelahiran Kampung Atas Paloh itu ialah
dengan menjulang Kelantan merangkul kejuaraan treble musim lalu serta
mempertahankan Piala FA buat kali kedua berturut-turut tahun ini.
Malah Piya pernah dipilih sebagai Pemain Tengah Terbaik Asia tahun lalu oleh lawan web bola sepak antarabangsa goal.com.
Dalam perkembangan lain, Piya memberitahu berkemungkinan besar
terpaksa melupakan hasrat untuk menjalani latihan persediaan ke
kelayakan Piala Asia bulan ini akibat kecederaan pangkal paha.
Beliau berkata, kecederaan tersebut dialami ketika Kelantan beraksi di pentas final Piala FA, namun ia tidak begitu serius.
Begitu juga ketika menentang Perak, saya hanya beraksi 30 minit
sahaja. Ketika menentang Lions XII, kesakitan memang ada, namun saya
ketepikan demi membantu pasukan menumpaskan lawan demi imej bola sepak
negara.
Alhamdulillah saya dan rakan-rakan berjaya melakukannya pada
perlawanan tersebut. Saya akui sedikit terkilan kerana tidak bersama
rakan-rakan sepasukan untuk membantu negara membuat persiapan.
Namun apa boleh buat, kecederaan yang dialami ini membataskan saya untuk berbuat demikian," ujarnya.
Tambahnya, dia perlu berehat selama tiga minggu, bagi membolehkan kecederaan yang dialaminya pulih sepenuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan