Penyokong TRW trauma ke stadium Ruzuki menunjukkan gambar ketika kemalangan dan laporan polis yang dibuatnya selepas telinga kirinya nyaris pekak terkena balingan mercun, semalam.
 
Telinga saya hampir pekak terkena letupan mercun ketika final Piala FA 29 Jun lalu: Ruzuki

Pasir Mas: Seorang penyokong Kelantan trauma untuk menyaksikan sebarang perlawanan bola sepak di stadium selepas telinganya hampir pekak akibat terkena letupan mercun ketika aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu.

Telinga kiri Mohammad Razuki Derahman, 40, kini masih berdengung akibat letupan mercun yang dibaling dari aras tiga stadium dalam kejadian jam 10.45 malam itu.
Selain telinga, Mohammad Razuki turut cedera di bahu kiri manakala bajunya koyak.


Dua anak lelakinya, Muhammad Rafiuddin, 21 dan Muhammad Redhauddin, 19, yang turut berada bersamanya tidak mengalami sebarang kecederaan.


Rebah selepas letupan


Mohammad Razuki berkata, sebelum kejadian, dia bersama penyokong lain sedang menghitung detik kemenangan TRW kerana perlawanan hanya berbaki beberapa minit lagi untuk tamat.
Bagaimanapun, katanya, ketika mereka bersorak, tiba-tiba satu letupan agak kuat `kedengaran’ di bahagian kirinya menyebabkan dia rebah di kerusi penonton.

“Dalam keadaan masih terkejut itu saya terus memeriksa telinga kiri saya kerana letupan mercun yang dilemparkan dari aras tiga itu agak kuat.

“Malah, ketika penonton bersorak, saya langsung tidak dapat mendengar sorakan mereka kerana telinga kiri saya berdengung,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Singgah klinik


Mohammad Razuki berkata, tanpa mempedulikan `pesta’ kemenangan The Red Warriors (TRW) itu, dia terus mengajak dua anaknya keluar dari stadium selepas tidak dapat menahan kesakitan sebelum singgah di sebuah klinik di Cheras, Kuala Lumpur pada malam itu juga.

Berikutan telinga kirinya masih berdengung hingga ke hari ini, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas berhubung kejadian itu, pada 2 Julai lalu.

“Apa yang saya kesalkan, selain tindakan `liar’ segelintir penyokong TRW, pihak pengurusan stadium dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya mengambil berat berhubung aspek keselamatan penonton,” katanya.