Rabu, 10 Julai 2013

Arsenal sedia sambar Cesar

LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger dilaporkan telah bersedia untuk mendapatkan khidmat penjaga gol Queens Park Rangers (QPR), Julio Cesar dengan bidaan berjumlah £1.5 juta (RM7 juta).

Pemain antarabangsa Brazil yang memiliki pendapatan mingguan sebanyak £70,000 (RM331,786) bersama QPR itu dikatakan berminat untuk menyarung jersi skuad The Gunners.

Selain itu, QPR mahu melepaskan bekas pemain Inter Milan itu dalam usaha untuk mengurangkan dana kewangan kelab tersebut.

Wenger menggambarkan Cesar, 33, sebagai seorang pemain berpengalaman dan ideal bagi menggantikan Wojciech Szczesny sebagai penjaga gol No. 1 di Arsenal.

Skuad The Gunners menjadikan Cesar sebagai sasaran utama bulan lalu dan kini, Arsenal dipercayai semakin hampir untuk merealisasikan perpindahan tersebut.

Selain itu, Wenger turut mempertimbangkan tawaran untuk mendapatkan pemain pertahanan Swansea City dan Wales, Ashley Williams.

Wenger membuat keputusan itu selepas kapten, Thomas Vermaelen dijangka terlepas aksi pada awal musim ini selepas ditimpa kecederaan tulang belakang.

Swansea menuntut sebanyak £10 juta (RM47 juta) yang dikatakan 'menakutkan' Arsenal, namun skuad The Gunners yakin mereka masih boleh berunding dengan cara yang lebih baik. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan