Chelsea turut bawa trofi Liga Europa Julian Kam menyerah tiket tajaan kepada Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Putri Shireen Othman, di Balai Berita, petang semalam.
Kuala Lumpur: Selepas sekadar menang tipis 1-0 ke atas skuad kebangsaan pilihan Ong Kim Swee dua tahun lalu, Chelsea melakar sejarah dengan menjuarai Liga Juara-Juara tahun berikutnya.

Tahun ini, Chelsea yang dikendali semula pengurus legenda Jose Mourinho, kembali ke Malaysia sebagai juara Liga Europa dan lawannya adalah skuad utama negara bimbingan pengendali berjasa, Datuk K Rajagobal.
The Blues akan turut membawa bersama trofi Liga Europa bersama bintang termasuk John Terry, Frank Lampard, Eden Hazard, Demba Ba dan Ashley Cole.



Faktor Mourinho

Kehadiran Mourinho antara faktor yang menyebabkan jualan tiket perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam pada 21 Julai ini lebih laris berbanding 2011, yang mana sejak mula dijual 30 Mei lalu lebih 20,000 keping sudah terjual.

“Dua tahun lalu jualan tiket agak perlahan tetapi menjelang hari perlawanan, baru peminat mula membeli tiket.
“Mungkin disebabkan kepulangan Mourinho dan skuad baru Chelsea yang dijangka mampu menggegar kancah bola sepak Inggeris dan Eropah musim depan, ramai peminat tempatan tidak sabar untuk mendapatkan tiket,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents International, Julian Kam selepas majlis penyerahan tiket kepada NSTP, semalam.

Pembaca Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times berpeluang mendapat tiket percuma pada 16 Julai ini dengan membawa keratan 14 kepala akhbar salah satu akhbar di atas untuk ditukar kepada tiket.

Setiap pembaca mesti berumur 18 tahun ke atas dan seorang hanya layak mendapat satu tiket saja. Tiket adalah terhad dan penukaran boleh dilakukan di Balai Berita, 31, Jalan Riong, Kuala Lumpur.