Kelana Jaya: Skuad B-18 negara, Harimau Muda C berlepas ke Zilina, Slovakia, awal pagi tadi tanpa tiga tonggak mereka iaitu penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed serta dua pemain pertahanan, Mohd Raphi Azizan Mariappen dan Mohd Arif Fadzilah Abu Bakar.

Ini kerana ketiga-tiga pemain berusia 17 tahun itu tidak mendapat pelepasan daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), sekali gus menerbitkan rasa pelik dan kecewa jurulatih Harimau Muda C, Aminuddin Hussin kerana ia menjejaskan persiapan pasukannya.
“Ketiga-tiga pemain ini memang tonggak kami sepanjang enam bulan beraksi di Liga FAM musim ini. Jadi program ke Slovakia ini adalah medan terbaik untuk saya menilai kemampuan pemain beraksi di peringkat antarabangsa.


Pertama kali berlaku

“Apabila ini berlaku, ia menjejaskan persiapan pasukan. Alasan dikemukakan pihak SSBJ, mereka tidak dilepaskan kerana terlampau lama meninggalkan sekolah untuk ke Slovakia sehingga 20 Ogos (36 hari). Mereka hanya akan beri pelepasan untuk menyertai kejohanan sebenar.

Sepanjang sebulan di Slovakia, skuad Harimau Muda C bakal menghadapi lapan perlawanan ujian serta beraksi tiga perlawanan dalam kejohanan jemputan Piala Mintal sebagai persiapan menghadapi Kejohanan B-19 AFF 2013 di Surabaya, Indonesia dari 9 hingga 22 September ini dan Kelayakan Kejohanan B-19 AFC 2014 di Zhejiang, China dari 8 hingga 12 Oktober ini.