Selasa, 16 Julai 2013

Teck Zhi bintang dalam pembikinan


AKSI Teck Zhi ketika menentang Hyuk Jin pada saingan akhir Kejohanan Remaja Asia Bawah 19 Tahun di Kota Kinabalu, Sabah Ahad lalu.


KEJAYAAN yang diukir pemain negara, Soo Teck Zhi dengan muncul juara Kejohanan Badminton Remaja Asia Bawah 19 di Kota Kinabalu Ahad lalu membuktikan bahawa Malaysia masih mampu melahirkan bakat baharu dalam sukan itu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata, Malaysia tidak ketandusan pemain muda berbakat.

"Kejayaannya (Teck Zhi) membuktikan Malaysia masih berjaya melahir satu lagi bintang badminton negara. 

"Dia mempunyai masa depan yang begitu cerah, cuma banyak yang perlu dipertingkat kerana usianya masih muda.

"Dia mempunyai banyak kelebihan khususnya dari segi fizikal yang baik, kepantasan dan stamina. Inilah ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi seorang pemain badminton perseorangan yang baik pada masa hadapan," kata Zolkples.

Zolkples ditemui pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dan pengeluar barangan sukan Li-Ning selaku pembekal pakaian sukan rasmi skuad bola keranjang kebangsaan semalam.

Penajaan dalam bentuk barangan sukan selama setahun itu bernilai RM270,000.
"Kini sudah tiba masanya untuk BAM (Persatuan Badminton Malaysia) memikirkan program yang bersesuaian untuk Teck Zhi bagi mengekalkan prestasi baiknya itu.

"Bagi saya pendedahan kepada banyak kejohanan (dalam dan luar negara) adalah antara usaha yang baik khususnya dalam mempersiapkan dia bagi menghadapi saingan yang besar di peringkat antarabangsa pada masa akan datang," katanya.

Menurut Zolkples, kejayaan itu akan membuka mata BAM bagi mencungkil lebih ramai pemain-pemain yang berbakat dengan menyediakan program-program secara berterusan.

Ahad lalu, Teck Zhi ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara perseorangan lelaki.
Diletakkan selaku pilihan kelima, Teck Zhi, 18, menjinakkan pemain Korea Selatan, Jeon Hyuk Jin 21-17, 13-21, 21-15 pada aksi final.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Teck Zhi mengikut jejak langkah seorang lagi pemain muda negara, Zulfadli Zulkifli yang muncul kejohanan yang sama di India dua tahun lalu.

Antara jaguh badminton dunia yang pernah bergelar juara remaja Asia termasuklah trio China - Lin Dan, Chin Jin dan Chen Long selain bintang Jepun, Kenichi Tago dan Park Sung-Hwan dari Korea Selatan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan