Ahad, 14 Julai 2013

Kalah di Thailand bukan petanda buruk


David Moyes (dua dari kanan) dan pemain Manchester United bergambar di depan Sydney Opera House sebaik sahaja tiba di Sydney, semalam. - AFP 
 
BANGKOK - David Moyes kalah dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus Manchester United 0-1 kepada Singha All-Star XI di sini kelmarin.

Namun dia tidak perlu bimbang kerana Alex Ferguson juga kalah dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus pasukan itu.

Ferguson mengalami kekalahan 0-2 di Oxford ketika menjadi pengurus United pada 1986 namun menjadi pengurus Red Devils selama 26 tahun.

Ditanya sama ada kekalahan itu merupakan petanda buruk, Moyes berkata: "Saya harap tidak (bukan petanda buruk). Ia bukanlah keputusan yang baik, namun saya gembira dengan cara pemain beraksi."
United yang beraksi tanpa Robin van Persie, Wayne Rooney, Nani dan kapten, Nemanja Vidic bermula lembap dan membenarkan All-Stars melakukan asakan ke kubu mereka.

Sungguhpun keputusan tersebut hanya membabitkan perlawanan persahabatan dan dibarisi pemain kurang berpengalaman, ternyata bukan mudah untuk Moyes mengikut jejak langkah Alex Ferguson yang menjadi pengendali kelab selama 27 tahun dan merangkul 38 trofi.

" Kami memberi peluang kepada lebih pemain muda untuk bermain. Saya kecewa kerana kami gagal mendapatkan hasil pada perlawanan ini.

"Apa yang kami peroleh pada perlawanan ini ialah memperbaiki tahap kecergasan pemain. Sesiapa sahaja yang menyaksikan perlawanan, mereka boleh memaklumkan kepada anda betapa panasnya cuaca di sini," kata Moyes.

Para penyokong terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sehingga 4,000 baht (RM407) bagi mendapatkan tiket, tetapi malangnya mereka berasa seperti ditipu kerana perlawanan hambar dalam cuaca yang panas dan lembap di pinggir bandar Bangkok.

Moyes menurunkan Danny Welbeck sebagai penyerang tunggal dalam kesebelasan utamanya, selepas Rooney terpaksa meninggalkan jelajah kerana kecederaan hamstring, dengan Anderson diberi peranan sebagai perancang dan diapit oleh Ryan Giggs serta pemain remaja Belgium, Adnan Januzaj di bahagian sayap.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah yang diperkuatkan dengan pemain-pemain terbaik liga Thai, berjaya memanfaatkan peluang yang terbuka menerusi Teeratep Winothai pada awal permainan, namun percubaannya itu berjaya dinafikan Jonny Evans.

Pada babak kedua, United yang dijangka meningkatkan permainan dikejutkan dengan jaringan penyerang Bangkok Glass, Teeratep yang berjaya memecah kebuntuan apabila dia menewaskan Amos pada minit ke-49. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan