Isnin, 15 Julai 2013

Chonburi FC perlekeh Harimau



WITHAYA (dua kari kanan) bersalaman dengan jurulaih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


“ANGGAP sahaja kami seperti Thailand,” Itu amaran awal ketua jurulatih kelab Thailand, Chonburi FC, Withaya Laohakul menjelang aksi persahabatan menentang Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Sama ada sengaja mahu ‘bermain’ psikologi atau sebaliknya, Laohakul menganggap kekuatan skuad kendaliannya hampir menyamai keupayaan skuad kebangsaan Thailand.

Jelasnya, Chonburi FC bakal diperkuatkan dengan kehadiran empat tonggak import selain dibarisi enam pemain skuad kebangsaan Thailand.

Enam pemain terbabit ialah Sinthaweechai Hathairattanakool, Adul Lahso, Anucha Kitpongsri, Natthaphong Samana, Jetsadakorn Hemdaeng dan Arthit Sunthornpit.

Pemain import Chonburi pula ialah Irfan Bachdim dari Indonesia, Kushida Kazuto (Jepun), Anderson Dos Santos (Brazil) dan Diakite Fode Bangaly (Ivory Coast).

“Jika mereka (Harimau Malaya) berjaya menewaskan kami, bermakna mereka telah berjaya menewaskan Thailand pada aksi malam esok (malam ini).

“Saya sentiasa percaya bahawa kekuatan kami dilihat hampir sama dengan skuad kebangsaan (Thailand) kerana memiliki enam pemain kebangsaan.

“Namun, saya sedar Malaysia merupakan salah satu pasukan yang hebat di Asia Tenggara.
“Apa yang pasti, kami teruja dan tidak sabar untuk mengalahkan pasukan bertaraf kebangsaan,” ujarnya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sementara itu, penjaga gol Chonburi FC, Sinthaweechai Hathairattanakool mahu menjadikan pertemuan menentang Harimau Malaya sebagai medan menebus kekecewaan.

Ini kerana pemain yang telah membuat 71 penampilan bersama skuad kebangsaan Thailand itu sekadar memanaskan bangku simpanan ketika Thailand menentang Harimau Malaya pada saingan Piala AFF Suzuki 2012.

“Saya tahu Malaysia adalah pasukan yang hebat dan pada masa sama, saya sedar ia satu peluang terbaik untuk menentang Malaysia sekali lagi.

“Kini saya berjaya mendapatkan peluang itu dan sudah tentu saya bersemangat untuk membantu kelab saya meraih kemenangan,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan