Isnin, 15 Julai 2013

Pemain Liga-M wajib isytihar harta: Aseh

Oleh Wan Fakhrul Bakar 
Pemain Liga-M wajib isytihar harta: Aseh
Pegawai juga diarah isi borang pengisytiharan harta langkah cegah rasuah atur perlawanan

Putrajaya: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam memutuskan untuk mewajibkan semua pemain dan pegawai pasukan Liga Malaysia (Liga-M) mulai musim depan mengisi borang pengisytiharan harta sebagai langkah mencegah gejala rasuah dan mengatur perlawanan.
Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat (gambar) berkata, pihaknya sudah memuktamadkan satu borang khas untuk diisi pemain dan pegawai setiap pasukan Liga-M termasuk pemain import.

Kita rasakan perlu untuk wajibkan pelaksanaan pengisytiharan harta ini selepas mendapat cadangan dan sokongan daripada Jawatankuasa Integriti FAM. Sama ada pemain atau pegawai itu ikhlas ketika mengisi borang mereka, itu kita akan pantau dan buat susulan dari semasa ke semasa," Datuk Hamidin Mohd Amin, Setiausaha Agung FAM

"Borang ini sudah lama kita reka bentuk dan sekarang tiba masanya untuk ia dilaksanakan. Borang ini mudah saja, antara lain pemain dan pegawai perlu meletakkan butiran diri seperti nama, nombor MyKad dan pasport serta perlu menyatakan berapa harta yang dimiliki mereka.

"Sekiranya nanti dia ada pertambahan harta, kena lapor atau kemas kini pada borang berkenaan dan sekiranya kita mencurigai perkara-perkara yang tidak kena pada diri individu itu seperti perubahan gaya hidupnya, kita akan rujuk semua borang pengisytiharan hartanya," kata Aseh pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa itu di Kompleks Perbadanan Putrajaya, petang semalam.

Menjelaskan perkara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media sama berkata, borang pengisytiharan harta itu akan dikemaskini menerusi sistem dalam talian pendaftaran pemain Liga-M musim 2014.

"Kita rasakan perlu untuk wajibkan pelaksanaan pengisytiharan harta ini selepas mendapat cadangan dan sokongan daripada Jawatankuasa Integriti FAM. Sama ada pemain atau pegawai itu ikhlas ketika mengisi borang mereka, itu kita akan pantau dan buat susulan dari semasa ke semasa," jelas Hamidin.
Dalam perkembangan lain, Aseh turut menyatakan hanya lima negeri sudah menubuhkan jawatankuasa integriti di peringkat persatuan bola sepak (FA) negeri, masih sama jumlahnya seperti dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sewaktu pertemuan dengan Jawatankuasa Integriti FAM di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, 24 Mei lalu.

"Lima negeri yang sudah menubuhkannya ialah Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Sabah. Kita pandang serius terhadap FA negeri lain yang belum menubuhkannya. Saya akan hantar surat dalam minggu ini dan minta mereka tubuhkan secepat mungkin," tegas Aseh.

Shokri masih diburu

Sementara itu, Aseh mendedahkan pengadil, Shokri Nor yang menghilangkan diri selepas tidak hadir ke Mahkamah Singapura bagi dakwaan kes rasuahnya, Ogos lalu masih belum dapat dikesan sehingga ke hari ini dan meminta pihak berkuasa terus menjejaknya jika benar dia masih berada di Malaysia. 
 
Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan