Selasa, 16 Julai 2013

Langkah bijak FAM tangani rasuah



PARA pemain Liga M diwajibkan mengisytiharkan harta mulai musim depan.- Gambar hiasan


BEKAS jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menganggap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melakukan inisiatif bijak apabila mewajibkan semua pegawai dan pemain Liga Malaysia (Liga M) mengisytiharkan harta mulai musim depan.

Begitupun, Wan Jamak berpandangan bahawa tindakan FAM itu yang bertujuan membasmi gejala rasuah serta mengatur perlawanan tetap menghadirkan implikasi pro dan kontra.

“Saya anggap ia (mewajibkan pengisytiharan harta) sebagai satu permulaan yang baik buat FAM tetapi pada pendapat saya, tindakan FAM itu ada pro dan kontra.

“Daripada segi pro, FAM akhirnya membuka mata dan berwaspada dengan gejala rasuah. FAM telah mendapatkan satu keputusan yang bijak untuk menangani rasuah dengan memperkenalkan satu undang-undang khas kepada pemain dan pegawai.

“Ini bermakna FAM semakin serius dan sudah bersedia mengambil langkah-langkah tertentu untuk menghalang proses rasuah berlaku di negara ini.

“Bagaimanapun, daripada segi kontra, adakah perkara itu (mewajibkan pengisytiharan harta) turut melibatkan ahli keluarga pegawai dan pemain terbabit, sama ada ibu bapa, isteri dan sebagainya.

“Secara peribadi saya anggap tindakan FAM itu amat baik tetapi ia masih perlu diperhalusi dengan mekanisma-mekanisma lain,” kata Wan Jamak ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, tonggak Johor Darul Takzim, Zaquan Adha Abd. Radzak turut menyambut baik cadangan FAM tersebut.

“Ia bagus untuk pembangunan bola sepak negara dan itulah cara terbaik untuk menangani gejala rasuah,” katanya.

Akhbar tempatan semalam melaporkan, FAM menerusi Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat mengumumkan, badan induk itu telah mewajibkan semua pemain tempatan dan import serta pegawai pasukan Liga M mengisytiharkan harta mulai musim depan.

Mereka dikehendaki mengisi borang pengisytiharan harta yang akan dikemaskini menerusi sistem dalam talian pemain Liga M bagi musim 2014.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan