Isnin, 15 Julai 2013

Moyes alami tekanan


MOYES (kiri) mengendalikan perlawanan pertama United ketika tewas 0-1 kepada Shinga All Star XII di Bangkok, Sabtu lalu.


LONDON - David Moyes bimbang penampilan pertamanya selaku pengurus Manchester United akan dibayangi kehebatan Alex Ferguson.

Pengendali kelahiran Scotland itu mengalami tekanan selepas skuad The Red Devils tewas 0-1 kepada Shinga All Star XII dari Thailand pada aksi pra-musim pertama Jelajah Asia di Stadium Rajamangala, Bangkok, Sabtu lalu.

Kekalahan itu mencalarkan reputasi Moyes sebaik mengambil-alih tugas Ferguson akhir musim lalu.
Moyes berkata, beliau akan berpuas hati sekiranya berjaya menikmati suku daripada pencapaian Ferguson sepanjang 26 tahun mengendalikan kelab gergasi Eropah itu.

Untuk rekod, Ferguson berjaya mendakap 38 trofi sepanjang berada di Old Trafford sebelum bersara.
"Ini musim pertama saya sebagai pengurus United.

"Jika saya berjaya meraih suku daripada apa yang dilakukan Ferguson, saya menganggap ia sebagai satu kejayaan.

"Jadi, saya perlu memastikan setiap yang dirancang menjadi kenyataan dan benar-benar bertuah kerana semua individu yang terbabit dengan United memudahkan kerja saya.

"Saya juga memiliki barisan pemain yang hebat tetapi memerlukan seorang atau dua lagi pemain baharu," kata Moyes.

Sementara itu, Ryan Giggs, 39, mengakui rakan-rakan sepasukan sudah mula menyesuaikan diri dengan corak taktikal yang diterapkan Moyes.

"Sudah tentu ia sesuatu yang agak janggal kerana saya berada di bawah tunjuk ajar Ferguson sejak 20 tahun lalu.

"Namun, kami perlu memandang ke depan dan bersedia berdepan aksi pembuka tirai Liga Perdana England berdepan Swansea City, Ogos depan.
"Ia merupakan detik permulaan kami dalam misi mempertahankan kejuaraan liga musim lalu," kata Giggs. 

Selepas tewas kepada Shinga All Star XI, United bakal bertemu All Star Liga Australia pada 20 Julai sebelum melayani kelab Jepun, Yokohama F. Marinos (23 Julai) dan menutup Jelajah Asia dengan menentang kelab Divisyen Satu Jepun, Cerezo Osaka (26 Julai) depan.

Anak-anak buah Moyes akan menghadapi dua lagi aksi pra-musim menentang Kitchee FC dari Hong Kong (29 Julai) dan AIK Football dari Sweden (6 Ogos). - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan