Ahad, 14 Julai 2013

Ingat Chelsea, ingat Mourinho


LONDON - Bekas tonggak pertahanan Manchester United, Gary Neville melaungkan amaran terhadap kesemua pencabar utama Chelsea dalam saingan Liga Perdana England (EPL) musim depan.

Menurut Neville, dia percaya The Blues bakal tampil lebih hebat selepas kembali dikendalikan Jose Mourinho.

Justeru, Neville menasihatkan kesemua pencabar kelab London itu termasuk United supaya tidak keciciran mata pada permulaan musim.

"Mana-mana pasukan tidak boleh ketinggalan jauh di belakang Chelsea kerana Mourinho bijak mengendalikan tekanan sedemikian seperti mana ketika musim 2004-2005.

"Meskipun mula mencipta nama bersama Porto, Mourinho kini memiliki skuad yang terbaik bersama Chelsea," kata Neville.

Kali ini, Mourinho dikatakan lebih menumpukan perhatian terhadap pembangunan pemain muda Chelsea.

Beliau hanya mendapatkan beberapa pemain baharu seperti Mark Schwarzer, Andre Schurrle dan Marko van Ginkel.

Namun, Neville percaya Chelsea mampu mencabar jika berjaya memburu seorang lagi penyerang prolifik.

"Chelsea sentiasa menjadi pencabar utama sejak beberapa musim kebelakangan ini.
"Namun dengan kehadiran Mourinho, saya percaya mereka pasti lebih hebat.

"United telah mempelajari sesuatu ketika Chelsea dikendalikan Mourinho sebelum ini, jadi kami tidak harus mengulangi kesilapan kali ini," kata Neville. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan