Ahad, 14 Julai 2013

Lebih lantang bersuara




BERTEMU dengan penyanyi Shila Amzah pada majlis pradengar album terbaharunya berjudul Shila Amzah di Red Box, Pavillion, Kuala Lumpur baru-baru ini terpancar ketena- ngan pada wajahnya.
Senyuman manis sentiasa diukir di bibirnya, walaupun soalan 'panas' diajukan tentang soal hati dan kisah cinta lamanya yang pernah mencetuskan kontroversi suatu ketika dahulu.
Tidak melatah mahupun marah, Shila mengaku yang dia tidak boleh memadam masa silamnya. Cintanya bersama pelakon Sharnaaz Ahmad ber- akhir dengan agak tragis.
Namun, impak kejadian itu, Shila bangkit menjadi gadis yang lebih tabah dan melepaskan segala bebanan di hati menerusi lagunya.

Pasti apabila mendengar lagu Masih Aku Cinta, ramai yang akan mengaitkan dirinya dengan cinta kontroversinya itu.

Shila bagaimanapun mengakui lagu tersebut sememangnya dihasilkan ketika dirinya dalam kekusutan saat kontroversi cintanya itu heboh diperkatakan media.

"Apabila saya sedang marah dan sedih, lebih mudah untuk menghasilkan lagu kerana ia terhasil dari lubuk hati dan menerusi pengalaman saya sendiri, bukannya imaginasi. 

"Selepas melepaskan beban di hati menerusi lagu, saya berasa lebih lega. Itu hanyalah sejarah dan sekarang saya hanya memandang ke hadapan sahaja," katanya.

Disoal adakah dia meminta kebenaran bekas kekasihnya, Sharnaaz untuk berkongsi rahsia hati dan cintanya dengan peminat menerusi lagu tersebut, Shila memberikan jawapan yang tegas. 

Ujarnya, dia tidak memerlukan kebenaran sesiapa untuk menulis lagu kerana itu perasaan yang dirasai ketika lagu tersebut dihasilkan.

Masih Aku Cinta yang menjadi single pertamanya itu cukup sedap didengar.
Shila mengakui, bukan mudah untuknya berterus terang dalam lagu yang menceritakan kisahnya sendiri.

Ini kerana apabila mendengar lagu itu, pasti ada pihak yang tidak akan berhenti mengaitkan Shila dengan lelaki yang pernah menjadi cinta hatinya itu dahulu.

"Saya sedar lagu-lagu yang saya tulis tentang pengalaman cinta sendiri boleh memberi kesan dan bukan mudah untuk saya berterus terang kepada semua orang. 

"Sewaktu berkarya saya tidak berfikir tentang perkara lain. Apa sahaja kesannya, saya sudah bersedia untuk hadapinya," ujarnya.

Tambah Shila, sudah 13 tahun usia pembabitan dirinya dalam industri muzik.
Dia bersyukur apabila akhirnya diberi peluang untuk mencorakkan albumnya sendiri, termasuk bertindak sebagai penerbit bersama dengan komposer terkenal Helen Yap dan Aubrey Suwito.
FIGURA ini mahu melupakan kisah hitam silam dan melangkah ke hadapan dengan penuh yakin.


Malah, dia sendiri mencipta keseluruhan lima buah lagu berjudul Masih Aku Cinta, Sedar, Cinta Hati, Tulis dan Maaf

Ujarnya: "Seronok sebenarnya bila saya diberi kebenaran sepenuhnya untuk mengekpresi diri. Mungkin apa yang saya hadapi juga dilalui oleh peminat yang mendengar lagu saya. 

"Ini suatu pengajaran untuk saya. Hikmahnya, saya jadi lebih kuat dan terhasillah lagu-lagu baharu dalam tempoh yang agak cepat.

"Tentang pembikinan album yang memakan masa selama lima bulan, ini pengalaman pertama saya bertindak selaku penerbit. Bukan mudah sebenarnya untuk menyiapkan sebuah lagu dan prosesnya agak rumit. 

"Sebelum ini sebagai penyanyi, saya datang ke studio rakaman, menyanyi dan pulang. Ketika merakamkan album, saya harus fikirkan semua benda bermula daripada konsep sehinggalah kepada lagu, nampaknya saya telah belajar banyak perkara baharu," tuturnya lagi.

Jelas gadis berusia 23 tahun itu, selepas segala kontroversi dan kelahiran album terbaharunya, kini bermulalah fasa baharu kehidupannya. 

Jujurnya, bukan mudah, tanyalah kepada mana-mana orang yang mempunyai pengalaman putus cinta terutama selebriti sepertinya, namun dia bersyukur kerana sentiasa disokong peminat dan mempunyai keluarga yang amat menyayanginya.

"Alhamdulillah, nampaknya perjalanan kerjaya dan kehidupan saya bertambah baik daripada sebelum ini," simpulnya ringkas.

Awi Rafael
Sebelum ini, ramai mengenali Shila sebagai gadis yang lembut dan sentiasa menjaga hati orang di sekelilingnya. Dia juga sering mendahulukan orang lain daripada dirinya sendiri, termasuklah soal hati dan perasaan. 

Namun, selepas kontroversi cintanya itu, Shila bangkit dan berubah menjadi seorang yang lebih tegas.

Akuinya, mungkin ramai orang yang akan merungut tentang perubahan dirinya yang berlaku secara drastik, namun ramai yang tidak sedar, hakikatnya sebenarnya itulah Shila Amzah yang sebenar.

"Saya mengambil perubahan secara drastik kerana sudah penat menjadi Shila yang sentiasa berhati-hati. Sekarang, saya lebih selesa menjadi diri saya sendiri dan saya berharap keterbukaan serta kelantangan saya dalam bersuara akan diterima ramai.

"Sebelum ini, saya sentiasa dahulukan orang lain, akhirnya perasaan dan hati saya yang terluka. Selepas ini, kalau saya tidak suka atau sakit hati, saya akan berterus terang. Saya akan pentingkan diri sendiri daripada orang lain, saya tidak mahu lagi kepala saya dipijak," tuturnya.

Selain itu, Shila yang dikaitkan sebagai orang ketiga dalam episod putus cinta penyanyi Awi Rafael dan pelakon Hanez Suraya hanya mampu tertawa apabila diajukan benarkah dia dan penyanyi itu pernah bercinta sebelum ini.

"Memang saya akui, Awi salah seorang daripada rakan saya dan kami telah kenal lama. Saya kenal dia dua tahun yang lalu selepas saya putus cinta dan kebetulan waktu itu saya memerlukan rakan duet. Dia seorang lelaki yang bersikap terbuka dan saya selesa berkawan dengannya.

"Bagaimanapun, saya tidak pernah bercinta dengan Awi. Kami hanya rakan biasa sahaja. Apa yang saya kesalkan, kenapa nama saya yang dikaitkan, sedangkan saya sibuk diShanghai, China.
"Bagi saya, gosip itu tercetus salah masa kerana mereka baru sahaja putus cinta. Saya tahu macam mana perasaannya (putus cinta), jadi janganlah ditambah luka dalam hati mereka (Awi dan Hanez Suraya)," luahnya kesal.

SHILA kini sedang menjalani rutin seharian secara bersendirian di Shanghai, China tanpa ditemani ahli keluarga.


Syarat ND Lala 

Tidak lagi berselindung, Shila mengakui selepas putus cinta dengan Sharnaaz, dia kini serik untuk bercinta kembali. Baginya lebih baik dia bercinta dengan kerjayanya yang sedang berkembang dan memerlukan tumpuannya seratus peratus.

"Saya serik untuk bercinta buat masa sekarang tapi pada masa hadapan saya tidak tahu bagaimana pula nanti (ketawa). Jika ada jodoh, pastinya saya akan bercinta kembali," katanya.
Ditanya tentang lelaki pilihannya, Shila memberitahu, dia tidak mempunyai sebarang senarai wajib untuk mencari lelaki pilihan kerana semuanya terpulang kepada jodoh yang diberikan Allah kepadanya.

Jelasnya: "Jujurnya, saya tidak kisah lelaki yang bagaimana sesuai dengan saya kerana saya tidak meminta sebarang ciri-ciri spesifik yang harus ada pada lelaki yang saya suka. 

"Apa yang penting, lelaki itu haruslah menghormati diri saya dan keluarga saya. Itu sahaja permintaan saya. Mana tahu, saya jumpa pula jodoh di China," katanya berseloroh.

Dalam pada itu, Shila juga memberitahu, jodohnya pada masa hadapan haruslah menjadi pilihan kedua ibu bapanya.

"Saya tidak maksudkan ibu harus cari jodoh untuk saya tetapi saya percaya pilihan ibu bapa merupakan pilihan yang terbaik. 

"Mungkin saya akan cari jodoh sendiri tetapi haruslah mendapat kebenaran daripada kedua ibu bapa saya. Mereka lebih bijak menilai mana yang baik dan buruk untuk saya," jelasnya.

Itu kata Shila, namun bapanya, ND Lala pula menetapkan syarat-syarat yang wajib dipatuhi oleh lelaki yang inginkan hati anaknya dan juga mendapat kebenaran lampu hijau daripadanya.

"Pertama, lelaki itu tidak melanggar adat dan agama. Kedua, dia harus ada nilai kepimpinan dan tanggungjawab supaya boleh membimbing Shila ke arah yang lebih baik. 

"Shila bebas untuk bercinta tetapi buat masa sekarang dia harus fokus kepada kerjayanya. Selagi tidak melanggar sebarang perjanjian dalam kontrak dengan mana-mana pihak yang berurusan dengan kami, saya tidak kisah kerana saya faham Shila masih muda," ujar ND Lala yang juga hadir pada majlis yang sama.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan