Isnin, 15 Julai 2013

Gay, Powell gagal ujian doping

Asafa Powell
 
LOS ANGELES - Tyson Gay dan Asafa Powell, dua daripada empat pelari terpantas acara 100 meter, gagal ujian dadah.

Juara dunia 2007, Gay, 30, dari Amerika Syarikat yang merupakan pelari terpantas di dunia tahun ini, diuji positif menggunakan bahan terlarang.

Ekoran itu, dia menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Moscow, bulan depan.
Bintang pecut Jamaica, Powell yang juga bekas pemegang rekod dunia 100m, mengesahkan dia diuji positif kerana menggunakan dadah perangsang sewaktu menyertai ujian kebangsaan Jamaica untuk sesi pemilihan ke Kejohanan Dunia di Moscow, namun atlet berusia 30 tahun itu menafikan tuduhan tersebut.

Hanya juara Olimpik dan pemegang rekod dunia, Usain Bolt dengan kepantasan 9.58 saat, mencatat rekod lebih pantas berbanding Gay iaitu 9.69s yang dikongsi bersama Yohan Blake dari Jamaica. 

Powell merupakan atlet keempat terpantas sepanjang zaman dengan catatan masa 9.72s.
Gay dimaklumkan oleh Agensi Anti-Doping Amerika Syarikat (USADA), Jumaat lalu bahawa dia gagal melepasi ujian yang dijalankan dan kelmarin, Trek & Padang Amerika Syarikat (USATF) berkata, atlet itu telah menarik diri daripada Kejohanan DUnia.

USADA pula berkata, kelmarin sampel B atlet berusia 30 tahun itu masih belum diuji, jadi mereka tidak boleh mengesahkan atau menafikan mengenai kegagalan ujian tersebut.

“Sebagai maklum balas kepada kenyataan Gay, USADA menghargai pendekatan atlet itu mengendalikan situasi berkenaan dan dia juga secara sukarela menarik diri daripada pertandingan, sementara fakta lengkap berhubung ujian dapat dinilai sepenuhnya.

“Sampel B akan diproses dalam masa terdekat ini dan dalam kes sebegini, semua atlet masih dianggap tidak bersalah melainkan atau sehingga terbukti bersalah melalui proses undang-undang dan sebarang usaha untuk mensensasikan atau membuat spekulasi hanya akan merugikan kepada proses keadilan dilaksanakan dengan lancar," kata pengurus perhubungan media USADA, Annie Skinner. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan