Ahad, 14 Julai 2013

Saya tidak makan pujuk - Suarez


LONDON - Penyerang Liverpool, Luis Suarez kelmarin mendedahkan, pengurus kelab itu, Brendan Rodgers kini sedang berhadapan tugas berat untuk memujuknya kekal di Anfield.
Sebelum ini, Rodgers menegaskan bahawa dia sedang melakukan komunikasi berterusan dengan seorang penyerang kontroversi dan berharap dia dapat 'menyimpannya' daripada keinginan untuk ke Real Madrid, Arsenal atau Chelsea.

"Liverpool sentiasa di hati saya dan tiada siapa dapat menyangkal kenyataan tersebut," kata Suarez yang turut mengakui turut teringin bermain bersama kelab yang beraksi di Liga Juara-Juara.
"Namun saya memang menerima beberapa tawaran yang sangat baik bagi masa depan saya. Saya akan memikirkan semasak-masaknya. 

"Sesetengah kelab juga ada bertanya secara terus kepada saya namun saya menyerahkan kepada ejen saya. Saya juga sudah lali dengan khabar angin," kata penyerang yang bernilai £40 juta (RM191.8 juta) itu.

Sepanjang bersama Liverpool, Suarez pernah mencetuskan kontroversi yang membuatnya semakin tertekan apabila menghamburkan kata-kata berbaur perkauman kepada pertahanan Manchester United, Patrice Evra serta menggigit pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic

Keadaan itu tambah merumitkan dirinya apabila melihat pencapaian Liverpool yang tidak seberapa dalam carta Liga Perdana England musim lalu.

Ini menyebabkan bintang Uruguay berusia 26 tahun itu mula mengalihkan perhatiannya kepada kelab lain dalam usaha mempertingkatkan bakatnya. 

"Itulah sebab saya meninggalkan Ajax dan menyertai Liverpool. Tetapi, kelab ini perlu berjuang untuk layak ke Liga Juara-Juara.

"Apabila perkara itu gagal dilaksanakan, ia akan melemahkan moral pemain-pemain. Saya telah mengalami situasi tersebut.

"Selain itu, media England sangat tidak memahami saya. Kontroversi dengan Evra dan Ivanovic adalah jelas. Selepas insiden dengan Evra, agak sukar untuk menjelaskan kepada umum siapa Luis Suarez yang sebenarnya," kata Suarez lagi.

Untuk rekod, Suarez telah digantung 10 perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England berikutan kes menggigit Ivanovic manakala kontroversi dengan Evra, dia digantung lapan perlawanan pada 2011. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.m

Tiada ulasan:

Catat Ulasan