Isnin, 15 Julai 2013

Thiago milik Bayern


THIAGO akan menandatangani kontrak selama empat tahun dengan Bayern.


MADRID - Juara Eropah, Bayern Munich menambah kekuatan di posisi tengah apabila bersetuju mengikat pemain tengah Barcelona, Thiago Alcantara dengan yuran perpindahan 25 juta euro (RM104 juta).

Menurut satu kenyataan dalam laman web rasmi Bayern kelmarin, Thiago, 22, akan menjalani ujian perubatan dalam tempoh beberapa hari lagi sebelum menandatangani kontrak selama empat tahun, sekali gus memintas Manchester United untuk mengikat bintang skuad Bawah 21 (B-21) Sepanyol itu.

Jika semuanya berjalan lancar, Thiago akan bekerjasama semula dengan bekas pengendali Barca, Pep Guardiola yang kini menjadi jurulatih Bayern.

Dalam pada itu, Barca turut mengesahkan perkara itu dan mereka menjelaskan, perjanjian itu bakal menjadikan hubungan dua hala antara skuad The Catalan dan Bayern menjadi lebih mesra.

Bayern akan menjelaskan 5 juta euro (RM20.8 juta) daripada yuran perpindahan yang diasingkan menerusi gajinya dan separuh lagi daripada persetujuan Thiago sendiri untuk dijadikan sebahagian upah beberapa proses perpindahannya.

"Thiago merupakan pemain yang sangat diidamkan jurulatih baharu Bayern. Aksinya sangat mengagumkan dan dia bakal menambah kekuatan kelab itu.

"Kami sangat mengalu-alukan kehadiran pemain berbakat besar itu dan dia merupakan pembelian terbesar serta terbaik kami," kata Ketua Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge.

Thiago yang lahir daripada Akademi Remaja Barcelona dilihat sebagai prospek besar bagi menggantikan Xavi di posisi tengah kelab gergasi Sepanyol itu.

Beberapa laporan media Sepanyol menyebut, Thiago kecewa kerana dia kurang diberi peluang beraksi, sekali gus memaksa dia berhijrah ke Jerman bersama kelab yang menghargai bakatnya.

Untuk rekod, Thiago yang menjadi kapten skuad B-21 Sepanyol membantu pasukan itu menjadi juara Eropah.

Pada aksi final itu, Thiago meledak hatrik untuk membantu kemenangan 4-2 Sepanyol ke atas Itali, sekali gus dipilih sebagai pemain paling berharga oleh Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Ironinya, Thiago lahir di Bari, Itali dan bapanya, Mazinho merupakan bekas pemain tengah Brazil serta pernah menganggotai skuad Samba itu ketika menjadi juara Piala Dunia 1994.
Adiknya, Rafinha juga bermain di bahagian tengah dengan skuad Barcelona B. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan