Ahad, 14 Julai 2013

'Saya tampil lebih baik'



MOURINHO melambai tangan kepada para peminat sebaik tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok, Thailand semalam.


BANGKOK - Jose Mourinho memberi amaran bahawa beliau kembali ke Chelsea sebagai seorang pengurus yang lebih baik.

Pengendali kelahiran Portugal itu turut berjanji untuk merampas semula trofi Liga Perdana England dan memenangi gelaran Liga Juara-Juara bersama kelab London itu.

Mourinho berkata, pengalamannya bersama Inter Milan dan Real Madrid, telah memberi banyak pengajaran dalam usaha memburu lebih banyak kejayaan.

"Saya rasa, rambut saya sudah beruban dan 'petanda' tersebut menunjukkan bahawa saya lebih baik berbanding sebelum ini.

"Apa yang saya fikirkan adalah tugasan saya bersama Chelsea tidak akan berdepan masalah berbekalkan pengalaman sebelum ini.

"Ini kerana, saya telah mengelilingi Eropah dengan menetap di Itali (Inter) selama dua tahun dan di Sepanyol (Real) dan dalam masa yang sama, saya telah banyak mempelajari budaya bola sepak.
"Saya telah menimba banyak pengalaman berguna dan sudah tentu saya fikir bahawa saya akan lebih matang.

"Pada pendapat saya, tugas saya bukan sekadar memenangi trofi tetapi ia berkaitan dengan mempelajari pengalaman lalu," kata Mourinho secara berseloroh pada sidang akhbar Jelajah Asia di Bangkok, Thailand semalam.

Untuk rekod, Mourinho, 50, kembali ke saingan Liga Perdana England selepas memenangi kejuaraan liga sebanyak dua kali berturut-turut termasuk dua Piala Liga dan Piala FA ketika membimbing skuad The Blues buat kali pertama pada tahun 2004 hingga 2007. 

Di Inter Milan, beliau memenangi gelaran trebel iaitu Liga Juara-Juara, Serie A dan Piala Itali pada 2010.

Beliau turut memenangi trofi Liga Sepanyol ketika bersama Real.

Kini, Mourinho berharap untuk membina legasi baharu di Chelsea dan mencontohi pencapaian di Porto serta Inter untuk memenangi trofi Liga Juara-Juara buat pertama kalinya bersama Chelsea. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan