Selasa, 2 Julai 2013

Sepanyol memang patut kalah - Del Bosque

RIO DE JANEIRO - Vicente del Bosque menyifatkan tewas memalukan 0-3 kepada Brazil pada perlawanan akhir Piala Konfederasi semalam sebagai kekalahan yang sepatutnya diterima oleh Sepanyol.

Del Bosque memperkecil-kecilan perlawanan berat sebelah semalam dengan berkata, pasukannya mungkin mendapat faedah daripada kekalahan di depan 73,000 penyokong Brazil di Stadium Maracana.

Kekalahan itu menjadikan ia satu-satunya kejohanan besar yang gagal mereka menangi dalam tempoh lima tahun.

"Sesekali kekalahan seperti ini ada baiknya kerana kami tidak mahu berfikir bahawa kami tidak boleh dikalahkan.

"Dalam perlawanan ini, Brazil ternyata lebih bertenaga dan adalah jelas permainan mereka lebih baik berbanding kami," katanya.

Sepanyol kalah dalam segenap aspek perlawanan semalam, hakikat yang perlu diterima Del Bosque.

Brazil menjaringkan gol pada awal dan penghujung babak pertama, masing-masing menerusi Fred dan Neymar.

Jaringan peribadi kedua oleh Fred pada awal babak kedua, mengesahkan penguasaan Brazil.

Pada minit ke-68, pertahanan Sepanyol Gerard Pique dilayangkan kad merah.

Ia hari malang buat Sepanyol yang mana mereka bermula buruk dan tidak mampu bangkit selepas jaringan Fred seawal minit kedua.
"Minit pertama dan terakhir babak pertama adalah tempoh yang kritikal.

"Apabila mereka menjaringkan tiga gol pada awal babak pertama dan kedua, ia merupakan detik paling buruk buat kami," kata pemain Sepanyol, Cesar Azpilicueta.

Kekalahan itu menamatkan rekod tanpa kalah Sepanyol dalam 26 perlawanan, namun Del Bosque menolak untuk membentuk semula pasukan itu ketika Piala Dunia di Brazil hanya setahun lagi. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan