Sabtu, 6 Julai 2013

Impian besar Moyes

MANCHESTER - Pengendali baharu Manchester United, David Moyes berazam untuk melakar kegemilangan dengan caranya sendiri.

Bagaimanapun, Moyes berikrar untuk mengekalkan corak permainan menyerang yang diamalkan juara Liga Perdana England itu.

Bekas pengendali Everton itu dilantik bagi menggantikan pengurus United, Alex Ferguson dan beliau perlu meneruskan kegemilangan kelab yang telah memenangi 20 gelaran Liga Perdana England, 11 Piala FA, empat Piala Liga dan satu Piala Juara-Juara Eropah itu .

"Tidak kira siapa yang mengambil alih tugas ini, mereka tahu mengenai kehebatan pengurus sebelum ini (Ferguson).

"Pengurus sebelum ini merupakan seorang individu yang sangat menakjubkan. Lihat sahaja pencapaiannnya, tiada siapa yang mampu menyaingi kehebatan beliau.

"Apa yang saya mampu lakukan adalah apa yang Moyes telah lakukan sebelum ini. Apa yang pasti, saya berazam untuk meneruskan tradisi United tetapi dengan cara saya tersendiri.

"Saya sangat bertuah kerana dapat membimbing kelab juara England. Ia memberikan satu permulaan yang sangat baik.

"Saya tiba di sebuah kelab yang memiliki reputasi hebat di seluruh dunia. Kelab ini sentiasa memenangi trofi dan itulah perkara utama yang saya mahu lakukan.

"Saya teruja untuk merangkul kejuaraan pertama biarpun saya akui tidak memiliki pengalaman seperti itu.

"Apa yang pasti, saya telah mendapat keyakinan yang tinggi selepas Ferguson memberitahu saya bahawa saya adalah individu paling layak untuk menggantikan tempatnya sebagai pengurus United," kata Moyes yang belum pernah menjulang sebarang kejuaraan sepanjang kariernya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan